Majlis perasmian Kelab Umno Luar Negara (KULN) di Balgaum, India.
BELGAUM - INDIA . Kelab Umno Luar Negara (KULN) India ditubuhkan bukan berkisar soal politik semata-mata tetapi platform dinamik dalam melahirkan graduan yang berkebolehan kapasiti meluas serta holistik.
Presiden KULN India, Muhammad Syahir Mohamad Isa berkata, pada masa yang sama peranan KULN lebih menjangkau sebagai rangkaian duta bagi membantu pelajar di luar negara khususnya di India yang menempatkan ramai pelajar Malaysia di negara ini.
Beliau berkata, KULN India juga akan memainkan peranan utama kepada pelajar-pelajar dalam urusan kebajikan, keselamatan, bantuan kewangan dan masalah berkaitan pengajian dan kemajuan pelajaran.
"Pada Januari 2017, KULN di India berjaya ditubuhkan. Saya percaya melalui penubuhan KULN, kita mampu menggilap kebolehan pelajar segenap aspek," katanya pada majlis perasmian kelab itu di sini.
Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Ahmad Fajarazam Abdul Jalil dan Pengarah Mara di Indonesia dan India, Zuliana Haslinda Anhar Zubir.
Beliau berkata, pelbagai usaha akan ditekankan dalam pendayaan modal insan dinamik secara total buat pelajar Malaysia di India, untuk menjadi barisan hadapan negara dalam pelbagai bidang kelak.
"Harapan saya melalui KULN India ini, pelajar mampu bergerak bersama menghadapi cabaran dunia hari ini seterusnya jadi nadi pembangunan negara," katanya.