Berhubung perkara di atas, ingin dimaklumkan bahawa tidak terdapat "pasport Kecemasan/Sementara" yang dikeluarkan oleh pihak Imigresen Malaysia sekiranya berlaku kehilangan/kecurian pasport Malaysia di luar negara. Apabila berlakunya kehilangan/kecurian pasport sedemikian, Kedutaan/Suruhanjaya Tinggi Malaysia terdekat hanya boleh mengeluarkan Sijil Kecemasan (Emergency Certificate/EC). Hanya sebilangan kecil Kedutaan/Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang boleh mengeluarkan pasport dan Kedutaan Besar Malaysia, Amman tidak termasuk di dalam kategori ini. Untuk makluman, dokumen Sijil Kecemasan/EC hanya sah untuk diguna pakai bagi tujuan untuk pulang ke Malaysia sahaja, tanpa boleh diguna pakai bagi memasuki mana-mana negara selain Malaysia.
Maka, adalah amat penting untuk rakyat Malaysia, termasuk para pelajar, untuk menjaga baik pasport masing-masing semasa berada di luar negara. Adalah disarankan supaya tuan/puan turut membawa bersama-sama salinan-salinan dokumen berikut: pasport, kad pengenalan, permit bermastautin dan sijil kelahiran semasa berurusan di luar negara. Walaupun salinan-salinan dokumen tersebut tidak semestinya dapat menjamin kebolehmasukan tuan/puan ke negara negara selain Malaysia, namun ianya dapat membantu memudahkan urusan-urusan berkaitan, seperti pengeluaran dokumen baru atau bagi mendapatkan kebenaran untuk memasuki negara-negara selain Malaysia.
Sekian, terima kasih.