Mission News

LAWATAN OLEH DUTA BESAR KE MADRASAH AL-A’LA, PREK PHRA, PHNOM PENH

21 May 2019 1 views

 

Pada hari Selasa 21 Mei 2019, Duta Besar TYT Eldeen Husaini telah melawat sebuah madrasah kecil yang terletak lebih kurang 5 km dari Kedutaan. Madrasah tersebut mempunyai lebih kurang 310 orang pelajar pelbagai peringkat umur, yang paling muda 6 tahun dan yang paling senior 20 tahun. Bilangan guru adalah 11 orang. Madrasah tersebut mula beroperasi 5 tahun lalu (tahun 2014). Kebanyakan pelajar-pelajar madrasahdatang dari keluarga miskin yang tidak mampu untuk membayar yuran persekolahan jika mereka pergi belajar di sekolah harian biasa. Bayaran yang dikenakan oleh madrasah adalah hanya 1000 Riel (USD0.25 atau RM1) sebulan bagi setiap pelajar. Daripada 11 orang guru yang mengajar disitu, tiga daripada mereka mengajar tanpa gaji atau ganjaran yang tetap. Kemudahan asas di madrasah tersebut amat kurang sempurna. Bilik darjahnya kecil, panas dan tidak kondusif untuk proses pembelajaran yang berkesan. Hanya beberapa bilik darjah mempunyai lampu dan ini menyebabkan pelajar-pelajar di bilik darjah yang tidak berlampu belajar dalam keadaan yang agak gelap. Keadaan kerusi, meja dan peralatan bantu mengajar yang ada sangat menyedihkan. Di sebelah petang, TYT Duta Besar dan beberapa pegawai Kedutaan telah membiayai makanan berbuka puasa di madrasah tersebut dan turut berbuka bersama-sama dengan guru-guru serta pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar amat gembira dapat berbuka puasa dengan juadah yang lebih enak dari juadah berbuka harian mereka. TYT Duta Besar amat terharu dengan keadaan sekolah dan nasib pelajar-pelajar tersebut. Beliau berhasrat untuk terus memberi sokongan serta membantu madrasah tersebut di masa hadapan.

 

Share:
Link copied to clipboard
Back