Sebahagian daripada pelajar-pelajar Malaysia di Korea yang hadir ke majlis BBQ yang diadakan di Dewan
Kedutaan Besar Malaysia.
Satu Majlis BBQ dan Sesi Ramah Mesra Bersama TYT Dato’ Ramlan bin Ibrahim, Duta Besar Malaysia ke Republik Korea telah diadakan di Dewan Kedutaan Besar Malaysia pada hari Sabtu, 16 Mei 2009 dengan kerjasama Pejabat Pendidikan dan Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam. Majlis yang dihadiri oleh HBS dan seramai 300 orang pelajar-pelajar Malaysia di Korea ini adalah merupakan pertemuan julung-julung kali di antara pelajar-pelajar dan Duta Besar semenjak beliau memulakan tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Korea. Majlis bermula pada pukul 11.30 pagi dengan ketibaan Duta Besar dan disambut dengan persembahan pencak silat oleh pelajar-pelajar yang lengkap berbaju Melayu hitam dan bersamping. Dalam ucapan alu-aluan beliau, Duta Besar menggalakkan supaya hubungan di antara pihak Kedutaan dan pelajar-pelajar dipertingkatkan melalui perkongsian aktiviti-aktiviti dan interaksi yang lebih kerap. Beliau juga mengingatkan pelajar-pelajar supaya meningkatkan pencapaian dalam akademik dan menjaga nama baik negara. Seterusnya Duta Besar serta tetamu-tetamu disajikan dengan hidangan bufet BBQ yang dimasak sendiri oleh pelajar-pelajar secara gotong-royong seperti ayam dan kambing BBQ, mihun goreng, nasi kunyit, sayuran coleslaw, buah-buahan dan pencuci mulut. Sambil menikmati juadah, tetamu-tetamu dihiburkan dengan persembahan-persembahan oleh pelajar-pelajar seperti dikir barat dan petikan gitar akustik. Duta Besar turut menyampaikan beberapa buah lagu secara karaoke dan diikuti oleh nyanyian dari HBS-HBS, pelajar-pelajar serta anak-anak HBS.
|