SIARAN SERTA-MERTA
NASIHAT PERJALANAN BAGI WARGANEGARA MALAYSIA
KE LUAR NEGARA
Kementerian Luar Negeri ingin merujuk kepada artikel yang diterbitkan dalam akhbar The Star bertarikh 13 Mac 2018 bertajuk '5,000 Malaysians are illegals in South Korea' dan ingin mengingatkan warganegara Malaysia yang hendak mengadakan perjalanan ke luar negara untuk memohon visa yang bersesuaian selaras dengan tujuan perjalanan.
Warganegara Malaysia yang bercadang untuk bekerja di luar negara pula perlu melalui saluran serta prosedur yang ditetapkan oleh negara berkenaan, termasuk mendapatkan visa bekerja terlebih dahulu sebelum mengadakan perjalanan ke sesebuah negara asing.
Kementerian Luar Negeri ingin menasihatkan warganegara Malaysia agar tidak tertipu dengan skim-skim tertentu yang menjanjikan tawaran pekerjaan di luar negara sekiranya visa atau permit bekerja yang sah tidak diperoleh terlebih dahulu.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan secara terus kepada Perwakilan-Perwakilan Malaysia di negara berkenaan. Maklumat perhubungan Perwakilan berkenaan boleh diperoleh melalui laman web Kementerian Luar Negeri www.kln.gov.my
Putrajaya
13 Mac 2018