Mission News

STATUS TERKINI KEJADIAN WABAK MERS-CoV DI NEGARA-NEGARA TIMUR TENGAH DAN REPUBLIK KOREA

19 June 2015 1 views

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

STATUS TERKINI KEJADIAN WABAK MERS-CoV DI NEGARA-NEGARA

 

TIMUR TENGAH DAN REPUBLIK KOREA

SERTA KESIAPSIAGAAN DAN RESPON

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada keratan

akhbar The Rakyat Post, Borneo Post dan di media sosial pada 14 Jun 2015

mengenai kejadian seorang pesakit yang sedang menerima rawatan dan

disyaki Patient Under Investigation (PUI) Middle East Respiratory

Syndrome Corona Virus (MERS-CoV) di Hospital Miri, Sarawak. KKM ingin

mengesahkan bahawa pesakit tersebut, seorang wanita warganegara Brunei

Darussalam telah keluar meninggalkan Hospital Miri tanpa kebenaran

daripada pakar perubatan yang memberikan rawatan ke atas pesakit

berkenaan.

 

Dimaklumkan pada 11 Jun 2015, pesakit bersama ahli keluarga telah datang

ke Miri, Sarawak untuk tujuan lawatan. Pada 12 Jun 2015, pesakit

mengalami demam, batuk dan sesak nafas dan telah dibawa ke salah

sebuah Hospital Swasta di Miri. Namun begitu, mengambilkira pesakit

mempunyai sejarah mengerjakan umrah dan pulang pada 22 Mei 2015,

beliau telah dirujuk ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut bagi kes disyaki

PUI MERS-CoV. Hasil siasatan, pesakit dilaporkan telah mula menunjukkan

tanda dan gejala batuk dan demam bermula pada 7 Jun 2015. Di Hospital

Miri, sampel klinikal telah diambil untuk ujian makmal pengesanan MERSCoV

dan sedang menunggu keputusannya, walaupun hasil siasatan

menunjukkan pesakit hanya mengalami gejala beberapa hari selepas tamat

tempoh inkubasi penyakit tersebut.

 

Pada hari yang sama, ahli keluarga telah memohon agar pesakit dipindahkan

ke sebuah hospital di Brunei Darussalam. Pihak Hospital Miri telah

menasihatkan agar pesakit terus menerima rawatan di hospital tersebut

sehingga menerima keputusan ujian makmal dan kesihatan pesakit semakin

pulih. Pada 12 Jun 2015 jam 7.15 petang, pesakit telah bertindak keluar dan

meninggalkan Hospital Miri tanpa kebenaran. Sehubungan dengan itu,

pihak Hospital Miri telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak Polis

DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mengesan pesakit untuk melengkapkan

siasatan dan rawatan lanjut.

Hasil kerjasama rapat di antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan

Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam, maklumat terkini yang diperolehi

adalah pesakit telah dimasukkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak

Saleha di Brunei Darussalam pada 12 Jun 2015 dan keputusan ujian MERSCoV yang dijalankan pada 13 Jun 2015 di hospital tersebut dilaporkan

sebagai negatif MERS-CoV dan buat masa ini beliau dirawat untuk

jangkitan kuman di paru-paru.

 

KKM juga ingin merujuk kepada kes PUI MERS-CoV, warganegara Malaysia

berumur 78 tahun yang meninggal dunia semasa berada dalam penerbangan

pulang dari Jeddah dan tiba di KLIA pada 11 Jun 2015 petang dengan

menaiki pesawat Saudi Airlines. Semasa ketibaan di Malaysia, jenazah telah

dirujuk ke Hospital Serdang untuk siasatan lanjut penyebab kematian. Hasil

daripada siasatan maklumat yang diperolehi mendapati semasa pesakit

mengerjakan umrah, beliau telah dimasukkan ke Hospital di Tanah Suci

kerana mengalami batuk dan kesukaran bernafas. Beliau telah dirawat

sebagai Acute Exacerbation of Chronic Obstructive Airway Disease (COAD)

with lung fibrosis dan dibenarkan pulang ke Malaysia dengan ditemani anak

dan seorang Jururawat. Hasil siasatan yang dijalankan mendapati ujian ke

atas sampel klinikal jenazah adalah negatif kepada ujian MERS-CoV dan

kematian adalah disebabkan oleh Obstructive lung disease.

 

KKM akan terus memantau perkembangan situasi jangkitan MERS-CoV yang

sedang berlaku di negara-negara Timur Tengah dan Republik Korea. Melalui

maklumat yang diterima daripada pihak WHO (World Health Organisation)

sehingga 13 Jun 2015, sejumlah 1301 kes yang telah disahkan MERS-CoV

termasuk sekurang-kurangnya 458 kematian yang dilaporkan di semua

negara-negara yang dijangkiti. Dari jumlah tersebut sejumlah 138 kes yang

telah disahkan dijangkiti MERS-CoV termasuk 14 kematian telah dilaporkan

di Republik Korea.

 

KKM juga ingin memaklumkan bahawa bermula dari Januari 2013 sehingga

kini, pihak KKM melalui CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness

Response Centre) telah menerima sejumlah hampir 805 notifikasi kes PUI

MERS-CoV dari seluruh negara. Kesemua 804 kes PUI MERS-CoV yang

dinotifikasikan disahkan sebagai bebas dari jangkitan MERS-CoV melalui

ujian makmal yang telah dijalankan, kecuali satu (1) kes positif yang

terdahulu dikesan pada bulan April 2014.

 

Pelbagai aktiviti kesiapsiagaan dan respons terus dipertingkatkan di semua

peringkat KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan tersebut ke

dalam negara. Maklumat terkini mengenai gejala penyakit MERS-CoV dan

perkembangan semasa mengenai penyakit tersebut boleh diperolehi dengan

melayari lawan sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia di

http://www.moh.gov.my dan juga melalui facebook CPRC Kebangsaan.

 

KKM sentiasa ingin menasihatkan orang ramai mengenai perkara-perkara

berikut:

 

a)   Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap

mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan

pencuci tangan (hand sanitiser), terutamanya selepas batuk, bersin

atau selepas bersalaman;

 

b)   Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup

mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitiser)

untuk digunakan apabila perlu;

 

c)   Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi kediaman

atau institusi penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kejadian

jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut;

 

d)   Khusus bagi para pelawat ke negara di Semenanjung Arab, semasa

dalam tempoh lawatan:

 

·        Elakkan dari melawat ke ladang haiwan atau menyentuh

sebarang jenis haiwan, khususnya unta.

·        Elakkan dari minum susu unta mentah atau air kencing unta.

·        Elakkan dari makan makanan yang tidak dimasak dengan

sempurna, terutama sekali daging unta.

 

e)   Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat

khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di Malaysia, adalah

dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera serta memaklumkan

mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat

sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori (seperti

batuk dan kesukaran bernafas). Sebaik mengalami gejala tersebut,

hadkan pergaulan dengan individu sihat di sekeliling dan pakai penutup

mulut dan hidung (face mask) apabila terpaksa berhubung / berurusan

dengan orang lain.

 

KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan respon bagi

mencegah penularan penyakit ke dalam negara dan dengan kerjasama padu

daripada semua pihak dan Kementerian/agensi yang berkaitan akan dapat

membantu memperkukuhkan lagi perlaksanaannya.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

15 Jun 2015

 

Share:
Link copied to clipboard
Back