TEKS UCAPAN
TYT MOHD AINI ATAN
Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan 2020
PERWAKILAN Vientiane
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh
Pengerusi Majlis, Pengerusi PERWAKILAN Vientiane dan Ahli-ahli sekalian. Alhamdulilah, izinkan saya memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia serta Rahmat-Nya dapat kita berhimpun dalam Mesyuarat Agung PERWAKILAN Vientiane pada tahun ini. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Pengerusi dan seluruh ahli jawatankuasa kerana menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERWAKILAN Vientiane.
- Seperti semua sedia maklum, PERWAKILAN bukanlah satu platform yang baharu diwujudkan, malah kewujudan PERWAKILAN yang didaftarkan pada tahun 1978 mendahului penubuhan PUSPANITA yang ditubuhkan pada tahun 1983. Kini dengan usia 42 tahun, PERWAKILAN dengan 111 cawangan di 85 negara di seluruh dunia telah menjadi satu wadah kepada para isteri pegawai serta pegawai dan kakitangan wanita Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di luar negara untuk menjalinkan silaturrahim, berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat dalam isu-isu dan hal-ehwal kepentingan bersama. Selain berperanan untuk menganjurkan dan mengendalikan aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli-ahli, ia juga berperanan memperkenalkan budaya dan adat resam Malaysia semasa berada di perantauan melalui penyertaannya dalam mengambil bahagian dalam program / acara-acara sosial dan kebajikan di negara tuan rumah.
- Dalam konteks Malawakil Vientiane, saya melihat peranan PERWAKILAN amat diperlukan dan penting dalam menjadi tunjang kepada kejayaan dan keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan oleh Kedutaan. Saya dimaklumkan sepanjang tahun 2019, PERWAKILAN telah menganjurkan dan menyertai pelbagai aktiviti meliputi pelbagai aspek, baik kebajikan, kemasyarakatan, sukan dan riadah mahupun keusahawanan di mana ia memberi manfaat kepada ahli-ahli PERWAKILAN dan komuniti setempat.
- Program-program seumpama ini diharap akan diteruskan pada tahun 2020 dengan tambahan baharu. Ianya sejajar dengan hasrat PERWAKILAN Kuala Lumpur supaya semua cawangan PERWAKILAN melaksanakan Kelas Bimbingan Malaysia. Modul untuk kelas ini telahpun diedarkan dan saya amat berharap agar kelas ini dapat dimulakan secepatnya. Saya percaya dengan keahlian yang ada, kesungguhan dan komitmen Pengerusi dan semua ahli, ianya akan dapat digerakkan secepatnya dan mencapai outcome yang dikehendaki.
- Dalam persekitaran semasa yang lebih telus dan akses kebolehcapaian yang baik, kewujudan saluran komunikasi yang pantas akan membantu PERWAKILAN bergerak aktif dalam melaksanakan program-program yang dirancang. Saya melihat PERWAKILAN Vientiane berada setanding dengan counterpart di negara lain. Perkara ini berlaku adalah kerana adanya komunikasi yang baik, semangat dan usaha bersungguh-sungguh serta kesepakatan semua ahli untuk berganding bahu menjayakan semua program yang dirancang.
- Saya berharap supaya program-program PERWAKILAN yang telah diadakan sedikit-sebanyak dapat mendedahkan para ahli kepada peranan penting yang dimainkan oleh PERWAKILAN di dalam perkhidmatan diplomatik. PERWAKILAN turut memikul tanggungjawab yang besar dalam mempromosikan Malaysia dan menampilkan imej positif negara di persada antarabangsa. Tugasan ini dilunaskan melalui penglibatan ahli-ahli PERWAKILAN di dalam aktiviti-aktiviti sosial, kemasyarakatan, kebajikan dan kebudayaan yang melibatkan lingkungan diplomatik. Jaringan komunikasi dan sokongan sebegini diharapkan dapat melahirkan ahli-ahli PERWAKILAN yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeyakinan tinggi, yang dapat sama-sama membantu mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
- Akhir kata, saya berharap semua ahli PERWAKILAN Vientiane akan sentiasa terbuka minda dan aktif demi menjayakan program-program PERWAKILAN. Manfaatkanlah penyertaan puan–puan dalam PERWAKILAN untuk saling berkongsi idea dan pandangan serta merangkai silaturrahim di kalangan semua ahli.
- Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN CAWANGAN Vientiane pada hari ini.
- Sekian, wabillaahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.