Mission News

KEJADIAN PENCULIKAN EMPAT ORANG WARGA MALAYSIA DI KAWASAN PERAIRAN PULAU LIGITAN, SABAH

12 April 2016 1 views

Yang Berhormat Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Anifah Hj Aman hari ini telah menghubungi Setiausaha Luar Filipina, Tuan Yang Terutama Jose Rene Almendras berhubung kejadian penculikan empat warga Malaysia pada 1 April 2016.  YB Menteri Luar Negeri telah memohon bantuan Kerajaan Filipina di dalam usaha untuk membebaskan warga Malaysia tersebut. Beliau juga telah menegaskan akan kepentingan untuk memastikan keselamatan mereka dan memaklumkan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan pihak Filipina dalam menangani isu ini.

 

Empat warga Malaysia tersebut adalah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

 

Setiausaha Luar Filipina telah menyakinkan Malaysia bahawa Kerajaan Filipina sedang mengambil langkah – langkah yang sewajarnya di dalam usaha mengesan dan menyelamatkan empat warga Malaysia berkenaan. Beliau juga memaklumkan bahawa pihak Tentera Filipina telah melancarkan operasi sekatan maritim di perairan selatan Filipina bagi mengesan keberadaan kumpulan bersenjata terbabit.

 

 

 

Kementerian Luar Negeri, Malaysia

PUTRAJAYA

4 April 2016

 

Share:
Link copied to clipboard
Back