Mission News

MAJLIS PEMARAPAN PERJANJIAN RANGKA KERJA PERKONGSIAN DAN KERJASAMA DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN KESATUAN EROPAH (MEUPCA) 6 APRIL 2016

12 April 2016 1 views

Malaysia dan Kesatuan Eropah telah memarap Perjanjian Rangka Kerja Perkongsian dan Kerjasama (MEUPCA) pada 6 April 2016 di Putrajaya. Sesi pemarapan tersebut telah disaksikan oleh YB Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia. Teks perjanjian tersebut telah diparapi oleh Ketua Perunding Malaysia, YBhg. Dato’ Ilango Karuppannan dan Ketua Perunding Kesatuan Eropah (EU), TYT Ranieri Sabatucci. Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh TYT Luc Vandebon, Duta Besar Delegasi EU ke Malaysia, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara.


MEUPCA menyediakan satu rangka kerja politik yang strategik dan menyeluruh dalam mengukuhkan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan EU. Sejak rundingan MEUPCA bermula pada bulan Oktober 2010, 11 pusingan rundingan telah diadakan di Putrajaya dan Brussels secara bergilir-gilir. Malaysia dan EU telah berjaya memuktamadkan rundingan pada pusingan terakhir yang telah diadakan pada 7 hingga 8 Disember 2015 di Brussels.

 

MEUPCA merangkumi 60 artikel yang meliputi pelbagai bidang berkepentingan bersama dalam sektor ekonomi dan bukan ekonomi bagi Malaysia dan EU. Ia berfungsi sebagai pemangkin kepada pengukuhan hubungan dua hala di antara Malaysia dan EU dan peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk hubungan politik, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pengangkutan, pertanian, kewangan, hal ehwal maritim dan bidang-bidang lain melalui dialog dan pertukaran maklumat.

 

MEUPCA juga merupakan satu perjanjian induk yang akan mendorong pemuktamadan perjanjian dua hala spesifik yang lain. Khususnya, ia akan membolehkan kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA). MEUFTA akan memberikan akses kepada produk dan perkhidmatan Malaysia dalam pasaran EU yang besar. Malaysia juga akan mendapat manfaat melalui program pembangunan kapasiti, perkongsian amalan terbaik dan pertukaran ilmu dalam bidang sains dan teknologi, teknologi hijau, alam sekitar, pendidikan dan kesihatan.

 

Teks perjanjian yang telah diparapi tersebut akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dan 23 bahasa negara-negara Eropah yang lain. YB Menteri Luar Negeri Malaysia dan rakan sejawatnya dari EU akan menandatangani MEUPCA secara rasmi pada suatu tarikh dan tempat yang dipersetujui bersama kelak. 

 

 

Kementerian Luar Negeri, Malaysia

PUTRAJAYA

6 April 2016

Share:
Link copied to clipboard
Back