Kerajaan Malaysia telah melantik Encik Edmund Bon Tan Soon sebagai Wakil Malaysia yang baru ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2016-2018. Encik Edmund Bon menggantikan Wakil Malaysia ke AICHR yang pertama iaitu YBhg. Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang telah berkhidmat bagi tempoh dua penggal secara berturut-turut bermula pada tahun 2010 sehingga 2015.
Encik Edmund Bon merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University College of London dan memegang Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dari University of Oxford, United Kingdom. Beliau merupakan Ketua Jabatan (Sivil) – (Head of Chambers) di firma guaman AmerBON Advocates. Encik Edmund Bon merupakan Ahli kepada Majlis Peguam Malaysia. Beliau pernah mempengerusikan beberapa Jawatankuasa di bawah Majlis Peguam Malaysia seperti Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Jawatankuasa Peguam Muda Nasional dan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia.
Dengan pengalaman dan pendedahan dalam litigasi kepentingan awam berprofil tinggi selama 18 tahun, pelantikan Encik Edmund merupakan manifestasi Kerajaan Malaysia dalam membawa isu-isu hak asasi manusia dan kebebasan asasi ke dalam agenda ASEAN menerusi AICHR.
AICHR telah ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah Artikel 14, Piagam ASEAN. Ia merupakan salah satu organ ASEAN dengan mandat menyeluruh dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini. Sebagai sebuah badan antara kerajaan yang bertanggungjawab secara langsung di bawah Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, AICHR memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerjasama hak asasi manusia dengan organ ASEAN, badan sektor ASEAN dan pihak luar (external parties) yang berkaitan.
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
PUTRAJAYA
1 APRIL 2016