YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan lawatan kerja ke Oman selama 1 hari pada 8 Mac 2014 yang lalu. Turut serta di dalam lawatan tersebut ialah Encik Mohd Faris Jazlan bin Ramli, Ketua Penolong Setiausaha (K), Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPM, Puan Salwani Abdullah, Ketua Penasihat Undang-Undang, Bahagian Undang-Undang, KPM dan Encik Shushilil Azam bin Shuib dari Education Malaysia yang beribu pejabat di Dubai.
Di dalam lawatan kerja tersebut, YBhg. Dato’ Seri telah berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan Dr. Mahmood Al Suleimi, Penasihat kepada Menteri Pengajian Tinggi Oman. Perjumpaan tersebut juga disertai bersama oleh wakil institusi pengajian tinggi swasta di Oman dan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Oman. Perbincangan semasa makan tengahari tersebut diadakan untuk mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Oman yang sedang dan ingin melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.
Lanjutan daripada perjumpaan tersebut, wakil Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengadakan sesi perbincangan dengan wakil Kementerian Pengajian Tinggi Oman untuk menambahbaik memorandum persefahaman mengenai kerjasama di dalam bidang pendidikan tinggi di antara Malaysia dan Oman. Memorandum persefahaman tersebut dijangka akan ditandatangani semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan Malaysia ke Oman dalam tahun ini.
Kedutaan Besar Malaysia, Muscat