Mission News

Lawatan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Perlis ke Oman

10 February 2015 1 views

TYT Umardin Hj Abdul Mutalib, Duta Besar Malaysia ke Oman telah menerima kunjungan hormat dari Persatuan Nelayan Kuala Perlis yang diketuai oleh Encik Mohd Khir bin Mohd Sham, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perlis pada 2 Februari 2015. Delegasi seramai 12 orang tersebut merangkumi Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Perlis.

Semasa kunjungan hormat tersebut, TYT Duta Besar membincangkan teknologi serta peluang-peluang berkaitan perikanan di Oman yang boleh digunapakai oleh LKIM dan persatuan-persatuan nelayan di Malaysia. Beliau juga mengalu-alukan lawatan sebegini sebagai satu pendedahan dan inisiatif kepada persatuan-persatuan nelayan untuk mengetahui dan mempelajari perkembangan terkini dan teknologi terbaru di dalam penangkapan dan pendaratan ikan. Pengetahuan sebegini boleh disebarkan secara meluas di Malaysia melalui persatuan-persatuan nelayan tersebut.

Semasa di Oman, delegasi tersebut telah dibawa ke Pasar Besar Muttrah untuk melihat penjualan ikan segar dan melihat sendiri jenis-jenis ikan yang terdapat di Oman. Lawatan ke depoh pendaratan ikan juga telah dilakukan untuk melihat lebih dekat lagi cara-cara pendaratan ikan dilakukan. Disamping itu juga lawatan ke perkampungan nelayan iaitu Sidap, Harameil dan Al Bustan juga telah dilakukan di mana ahli delegasi telah diberi penerangan oleh nelayan tempatan mengenai sejarah penangkapan ikan dan perkembangan pembuatan perahu dan bot untuk menangkap ikan di Muscat. 

 

Kedutaan Besar Malaysia, Muscat

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back