Mission News

Mesyuarat Agong Tahunan PERWAKILAN Muscat 2014/2015

06 February 2014 1 views

Mesyuarat Agong Tahunan PERWAKILAN Muscat bagi tahun 2014/2015 telah diadakan pada 27 Januari 2014 bertempat di Rumah Malaysia iaitu Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Oman yang juga merupakan Penaung PERWAKILAN Muscat.Mesyuarat yang telah dihadiri oleh lebih kurang 30 ahli PERWAKILAN tersebut telah berjalan dengan lancar dan meriah dengan perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan pada tahun ini.

 

YBhg. Datin Dr. Musrifah Sapardi, Pengerusi PERWAKILAN Muscat, dalam ucapan alu-aluan beliau menyampaikan rasa terima kasih tidak terhingga kepada semua ahli PERWAKILAN yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada beliau serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain dalam pelaksanakan pelbagai aktiviti yang direncanakan pada tahun 2013. Beliau juga memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2013, PERWAKILAN telah berjaya mengadakan sebanyak 29 aktiviti berteras keagamaan, pendidikan, sukan, kebajikan dan kebudayaan di samping menjayakan program yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Oman serta Ambassadors Wives’ Group (AWG) dan ASEAN Ladies Circle (ALC)

 

TYT Duta Besar Malaysia ke Oman, YBhg. Dato’ Rustam Yahaya, merangkap Penaung PERWAKILAN Muscat telah merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan tersebut dan menyampaikan amanat agar kerjasama dan hubungan yang baik antara PERWAKILAN dan pihak Kedutaan dapat diteruskan pada masa hadapan. TYT Duta Besar juga menasihatkan ahli PERWAKILAN agar sentiasa memelihara keharmonian antara kaum yang selama ini terjalin erat di antara rakyat Malaysia yang berada di Oman serta menjaga imej dan nama baik negara di mana jua mereka berada.

 

Mesyuarat telah diteruskan dengan pembentangan laporan kewangan serta laporan aktiviti-aktivi yang telah dijalankan oleh biro-biro yang berkaitan dan diikuti dengan pembubaran semua biro bagi sesi 2012/2013. Mesyuarat pada kali ini telah memutuskan untuk tidak mengadakan pemilihan ketua biro untuk memberi peluang lebih ramai lagi ahli PERWAKILAN untuk mengetuai aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk tahun ini.

           

Di penghujung mesyuarat, YBhg. Datin Dr. Musrifah Sapardi menyampaikan cenderakenangan  kepada semua ketua biro PERWAKILAN yang telah menjalankan tugas dengan jayanya dan juga kepada semua ahli PERWAKILAN yang telah menghadirkan diri ke mesyuarat tersebut. Majlis diteruskan dengan sesi bergambar bersama Pengerusi PERWAKILAN dan disusuli dengan jamuan pelbagai jenis juadah yang disediakan secara potluck oleh ahli-ahli PERWAKILAN.

 

 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back