Muscat, 6 November 2011 - Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Kesultanan Oman telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka dan Ibadah Qurban bersempena dengan Aidil Adha pada 6 November 2011 bersamaan dengan 10 Zulhijjah tahun 1432 Hijrah. Majlis tersebut telah diadakan di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Kesultanan Oman, T.Y.T. Ambassador Dato’ Rustam Yahaya di Shatti Al Qurum, Muscat.
Majlis yang bermula dari jam 9.00 pagi telah dihadiri oleh lebih 100 orang warganegara Malaysia dari pelbagai kaum. Turut hadir adalah pasangan rakyat Malaysia terdiri dari warganegara Oman dan Greece bagi memeriahkan majlis tersebut. Beberapa orang warganegara Malaysia dari Dubai yang sedang bercuti di Oman juga telah bersama-sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka tersebut.
Pada majlis tersebut, seekor lembu dan enam ekor kambing telah disumbangkan oleh pegawai Kedutaan Besar dan warganegara Malaysia di Oman bagi melaksanakan ibadah Qurban. Sebilangan warganegara Malaysia juga telah bersama bergotong- royong mengagih serta memasak daging Qurban.
Kedutaan Besar Malaysia mengucapkan terima kasih kepada warganegara Malaysia yang telah turut memeriahkan Majlis Rumah Terbuka dan bergotong-royong membantu penyediaan daging korban dan masakan bersempena Aidil Adha 2011 (1432H).