Muscat, 26 Oktober 2012 - Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Kesultanan Oman telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka dan Ibadah Korban bersempena dengan Aidil Adha pada 26 Oktober 2012 bersamaan dengan 10 Zulhijjah tahun 1433 Hijrah. Majlis tersebut telah diadakan di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Kesultanan Oman, T.Y.T. Ambassador Dato’ Rustam Yahaya di Qurum 29, Muscat.
Majlis yang bermula dari jam 9.00 pagi telah dihadiri lebih 100 orang warganegara Malaysia dari pelbagai kaum. Pada majlis tersebut, sepuluh ekor kambing telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia di Oman bagi melaksanakan ibadah korban. Sebilangan warganegara Malaysia juga telah bersama bergotong- royong mengagih serta memasak daging korban.
Kedutaan Besar Malaysia mengucapkan terima kasih kepada warganegara Malaysia yang telah turut serta memeriahkan Majlis Rumah Terbuka dan bergotong-royong membantu penyediaan daging korban dan masakan bersempena Aidiladha 2012 (1433H).