15 Oktober 2013 menyaksikan sebanyak 17 ekor kambing dikorbankan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia di Muscat, Oman. Kambing tersebut telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia yang berada di Oman dan proses penyembelihan telah dijalankan di pusat sembelihan yang bertauliah di Muscat, Oman.
Sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang raya, rakyat Malaysia di Muscat bersama-sama melapah kambing tersebut untuk diagihkan kepada penduduk setempat. Aktiviti melapah berjalan dengan lancar dan diikuti dengan hidangan sarapan pagi berupa mee hun goreng dan nasi lemak ikan masin yang disediakan oleh PERWAKILAN Muscat. Daging-daging yang telah siap dibungkus kemudiannya di bawa ke beberapa kawasan yang telah di kenalpasti untuk pengagihan.
Sesampai di kawasan pengagihan, penduduk setempat telah menunggu seawal pagi untuk menerima sumbangan daging korban yang disedekahkan oleh rakyat Malaysia di Oman. Rata-rata merasa amat bersyukur kerana mendapat sumbangan sedemikian dan merasa gembira kerana dapat bersama-sama menghayati sambutan Hari Raya Aidiladha seperti umat Islam yang lain.
Pogram sambutan diteruskan dengan aktivti memasak jamuan tengahari secara rewang oleh ahli-ahli PERWAKILAN Muscat. YBhg. Dato’ Duta Besar juga telah turun padang untuk menyediakan signature dish beliau iaitu - sup tulang. Jamuan makan tengahari yang diadakan di Kediaman Rasmi Duta Besar telah dihadiri oleh seramai lebih kurang 80 rakyat Malaysia yang berada di Oman. Majlis juga diserikan dengan kehadiran rakyat Malaysia yang sanggup datang dari Arab Saudi, Kuwait dan juga Dubai untuk sama-sama merasakan sendiri sambutan hari raya di Oman.
Jamuan kali ini agak istimewa kerana pihak Malaysian Cafe di Muscat telah bermurah hati untuk menyediakan dua ekor kambing panggang untuk disajikan kepada semua tetamu yang hadir. Di samping kambing panggang, juadah lain yang turut disediakan ialah sup tulang, kari kambing, sayur campur, hati dan paru goreng, ikan goreng, serunding daging serta acar timun. Seperti kebiasaannya, juadah pencuci mulut dibawa secara potluck oleh rakyat Malaysia seperti agar-agar buah, kek coklat, buah-buahan dan tidak kurang juga yang membawa biskut raya.
Keletihan yang dirasa dari seawal pagi sehinggalah selesai jamuan makan tengahari dirasakan amat berbaloi tatkala melihat kegembiraan terpancar di wajah setiap rakyat Malaysia yang hadir di majlis ini. Semangat kerjasama yang ditunjukkan dan ikatan ukhuwah yang terjalin sepanjang program sambutan Hari Raya Korban pada tahun ini menunjukkan bahawa tiada apa yang mustahil dilakukan sekiranya budaya dan semangat tolong menolong diteruskan walaupun ketika berada jauh di perantauan.
Kedutaan Besar Malaysia
Muscat, Oman