Mission News

Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Kedutaan Besar Malaysia, Muscat

04 September 2013 1 views

Kehadiran lebih kurang 50 orang rakyat Malaysia ke Kediaman Rasmi YBhg. Dato’ Rustam Yahaya, Duta Besar Malaysia ke Oman, telah memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Muscat pada 9 Ogos 2013 yang lalu. Rata-rata yang ditemui pada majlis makan tengahari tersebut berasa gembira kerana dapat berkumpul bersama-sama dengan warga senegara yang menyambut hari raya di perantauan. Namun,  ada juga yang berasa sedih kerana pertama kali beraya jauh dari keluarga dan sanak saudara.

 

Kesedihan pada keluarga dan kerinduan pada masakan Malaysia sedikit terubat dengan terhidangnya juadah raya seperti rendang ayam, ketupat, nasi impit, kuah kacang, kuah lodeh dan sambal udang yang disediakan oleh warga kerja Kedutaan Besar Malaysia di Muscat. Sajian istimewa pada sambutan hari raya kali ini ialah sup tulang istimewa yang disediakan sendiri oleh YBhg. Dato’ Rustam serta ketupat yang dianyam oleh warga kerja Kedutaan hasil tunjuk ajar YBhg. Duta Besar. Kuih-muih serta biskut raya yang dibawa oleh rakyat Malaysia yang hadir juga telah menghiasi meja jamuan yang dipenuhi dengan sajian beraneka jenis.

 

Kedutaan Besar Malaysia
Muscat, Kesultanan Oman

 

Share:
Link copied to clipboard
Back