Mission News

Sambutan Tahun Baru Cina Anjuran PERWAKILAN Muscat

18 February 2014 1 views

PERWAKILAN Muscat telah menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina pada 14 Februari yang lalu untuk meraikan ahli PERWAKILAN yang berbangsa Tionghua dan juga merupakan aktiviti pembuka tirai bagi tahun 2014. Majlis makan malam tersebut diadakan bersempena hari Chap Goh Mei dan telah dihadiri oleh lebih 30 ahli PERWAKILAN bersama dengan ahli keluarga masing-masing yang memakai pakaian serba merah sesuai dengan tema malam itu. Rumah Malaysia pada malam itu digamatkan dengan kehadiran rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat, berbilang bangsa dan berlainan agama.

 

Presiden PERWAKILAN Muscat, YBhg. Datin Dr. Musrifah Sapardi dan YBhg. Dato’ Rustam Yahaya selaku Penasihat PERWAKILAN Muscat juga telah turut serta di dalam acara melambung yee sang yang diadakan sambil memberi ucapan bermulanya tahun yang makmur. Rakyat Malaysia yang ditemui pada majlis makan malam tersebut berasa amat gembira dan bersyukur kerana dapat berkumpul bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain dan merasakan bahawa sambutan perayaan ini adalah sama seperti menyambutnya di Malaysia.

 

Majlis digamatkan lagi dengan pertandingan memindahkan biji kacang ke dalam mangkuk menggunakan chopstick, meneka bilangan gula dalam balang, mencari hongpao tersembunyi dan pertandingan best dressed bagi kategori kanak-kanak dan dewasa. Sesuai dengan perayaan Tahun Baru Cina, PERWAKILAN Muscat telah menyajikan masakan tradisi masyarakat Cina untuk semua tetamu yang hadir. Di antara menu makan malam tersebut ialah ayam masak kicap, ikan sweet sour, sup isi ketam dan sayur campur. Dan seperti kebiasaannya, meja hidangan juga dipenuhi dengan hidangan pencuci mulut yang dibawa secara potluck oleh ahli-ahli PERWAKILAN.

 

EMBASSY OF MALAYSIA, MUSCAT

 

Share:
Link copied to clipboard
Back