Muscat, 2 November 2012 – Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Kesultanan Oman telah menganjurkan Sesi Dialog dan Majlis Makan Malam Bersama Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd Ali pada 2 November 2012. Majlis tersebut telah diadakan di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Kesultanan Oman, T.Y.T. Ambassador Dato’ Rustam Yahaya di Qurum 29, Muscat.
Majlis yang bermula dari jam 7.30 malam telah dihadiri lebih 200 orang warganegara Malaysia yang bermaustatin di Oman dari pelbagai kaum. Peluang ini tidak dilepaskan oleh masyarakat Malaysia untuk bertanyakan soalan mengenai perkembangan semasa seperti politik, ekonomi dan sebagainya. Mereka juga merasa gembira dan bangga dapat beramah mesra secara rapat dengan kedua-dua tokoh tersebut.
Di akhir sesi, masyarakat Malaysia mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan bersama Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd Ali. Kedutaan Besar Malaysia mengucapkan terima kasih kepada warganegara Malaysia yang telah turut menjayakan serta memeriahkan majlis tersebut.