HARI KELUARGA KELAB UMNO PAKISTAN BERSAMA KONSULAT
Oleh Aisyah Sara Khalid
KARACHI -- Kelab UMNO Pakistan bersama Konsulat Jeneral Malaysia Karachi telah mengadakan Hari Keluarga 2011 pada 15 Mei 2011 bertempat di perkarangan Konsulat. Majlis ini telah dihadiri seramai 50 warga Malaysia di Karachi termasuk pelajar-pelajar Malaysia. Acara telah dimulakan pada jam 8 pagi dengan ucapan aluan Presiden UMNO Pakistan, Saudara Ali Hanafiah dan seterusnya ucapan perasmian oleh Tuan Mohd Khalid Abdul Razak, Konsul Jeneral Malaysia di Karachi. Konsul Jeneral antara lain mengalu-alukan inisiatif Kelab UMNO dengan penganjuran acara sedemikian yang dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim dan ukhuwah di antara warga Malaysia dengan pelajar-pelajar serta pegawai-pegawai Konsulat. Para hadirin juga telah diberi taklimat ringkas mengenai keselamatan di Karachi serta jemputan bagi mendaftar serta mengemaskinikan maklumat peribadi/keluarga mereka dengan Konsulat. Sebanyak 8 acara sukan telah diadakan melibatkan golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa, antaranya mencari gula-gula dalam tepung, lompat dalam guni, lari bersama tayar, bowling padang, relay belon air dan melontar bola pingpong ke dalam bekas. Para pemenang telah menerima hampers barangan makanan dan minuman yang disediakan oleh Kelab UMNO. Selepas penat bersukan, semua hadirin telah dijamu dengan hidangan nasi lemak ayam goreng, sandwich, minuman MILO dan lain-lain yang juga disediakan oleh para pelajar-pelajar dari Kelab UMNO. Tahniah dan syabas kepada Kelab UMNO Pakistan kerana menyemarakkan konsep dan semangat 1 Malaysia di Karachi…