KARACHI: Majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia dan solat tarawih telah diadakan pada 5 Ogos 2011 di pejabat konsulat. Seramai lebih kurang 50 rakyat Malaysia termasuk pelajar-pelajar Malaysia yang menetap di bandar Karachi hadir untuk memeriahkan suasana.
Hadir bersama ialah Konsul Jeneral Malaysia Abu Bakar Mamat, yang baru memulakan tugas beliau di Karachi pada 14 Julai 2011. Semasa ucapan alu-aluan, beliau telah menyatakan bahawa perjumpaan sebegini disambut oleh Konsulat dengan semangat muhibbah di mana warga Malaysia yang bukan beragama Islam turut dijemput meraikan majlis bersama rakan-rakan beragama Islam.
Konsul Jeneral turut memberi kata-kata dorongan dan peransang kepada pelajar Malaysia untuk menguatkan azam serta terus mengharumkan nama bangsa dan negara. Menurut beliau, Kerajaan sentiasa berminat dengan kejayaan serta kesejahteraan pelajar-pelajar di luar negara dan Konsulat bersedia untuk mendengar masalah atau kesusahan yang dihadapi oleh pelajar.
Berkenaan dengan keadaan keselamatan di Karachi, Konsul Jeneral mengingatkan rakyat Malaysia supaya menjaga keselamatan diri dan selalu mengambil langkah berjaga-jaga. Lebih daripada 320 orang dilaporkan maut dalam bulan Julai tahun ini akibat keganasan etnik dan politik.