Oleh M.Saraswathi
NEW DELHI, 15 Feb (Bernama) -- Pameran Study Malaysia Education di Karachi, pusat kewangan Pakistan, mendapat sambutan ramai berikutan kedudukan Malaysia yang semakin terkenal sebagai hab pendidikan tinggi di Asia.
Pameran edisi ke-11 ini menarik ramai pengunjung, kebanyakannya pelajar menengah tinggi, yang datang bersama ibu bapa masing-masing untuk meninjau peluang belajar di institusi pengajian tinggi Malaysia, yang menepati cita-cita dan kemampuan kewangan mereka.
Majoriti pengunjung memberi fokus kepada pengambilan Mei dan Ogos oleh universiti terbabit.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia memberi sokongan padu kepada syarikat tempatan yang mempromosi Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, kata Konsul Jeneral Malaysia di Karachi Abu Bakar Mamat kepada Bernama melalui e-mel.
Syarikat berkenaan, North Pole International, menonjolkan 11 institusi pengajian tinggi awam dan swasta terbaik Malaysia pada pameran dua hari itu, yang berakhir hari ini.
Abu Bakar, yang merasmikan pameran itu, memuji usaha pengarah urusan syarikat terbabit Babar Bashir Ahmad kerana mempromosi Malaysia sebagai destinasi pembelajaran terkemuka kepada rakyat Pakistan.
"Malaysia memang komited terhadap usaha dan program pendidikan yang ditawarkan institusi pengajian tinggi dan memastikannya mencapai taraf antarabangsa," katanya.
Menurut beliau, Malaysia menyasarkan jumlah pelajar antarabangsa yang menuntut di institusi pengajian tingginya mencapai 200,000 orang menjelang 2020.
Sementara itu, Babar Bashir berkata Malaysia adalah antara pasaran pendidikan utama bagi rakyat Pakistan kerana beberapa kelebihan dan ini terbukti apabila lebih 3,000 pelajar negara ini memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan sejak empat tahun lepas.
Katanya yuran tuisyen dan kos sara hidup yang berpatutan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelajar Pakistan memilih Malaysia sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian.
"Malaysia menjadi destinasi pilihan utama pelajar dari seluruh dunia kerana beberapa faktor, termasuk yuran tuisyen berpatutan, undang-undang imigresen, pilihan berkualiti, ijazah yang ditawarkan dengan kerjasama universiti dari UK, Australia, Amerika dan sebagainya, kepelbagaian budaya dan kemesraan rakyatnya," kata beliau.
Menurut beliau purata yuran tuisyen di Malaysia ialah US$6,000, berbanding US$22,000 di Amerika dan US$14,000 di United Kingdom, manakala purata kos sara hidup setiap pelajar di Malaysia pula ialah US$4,000, berbanding US$13,000 hingga US$15,000 di Amerika dan United Kingdom.
Katanya dengan perbelanjaan sebanyak itu juga, pelajar boleh mendapat ijazah sama seperti yang ditawarkan oleh universiti Britain atau Australia.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) meletakkan Malaysia di tempat kelapan sebagai destinasi pendidikan pilihan utama pelajar antarabangsa.
Ketinggian standard dan kemudahan yang disediakan universiti di Malaysia menjadi tarikan utama kepada kebanyakan pelajar asing.
Terkenal sebagai hab pendidikan tinggi sedang muncul di Asia Tenggara, Malaysia mempunyai 21 universiti awam, lima kampus cawangan universiti United Kingdom dan Australia serta lebih 33 universiti swasta dan lebih 500 institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai kursus dan bidang kepakaran.
Selepas ini, pameran sama akan diadakan di Islamabad iaitu di Islamabad Hotel pada 18 Feb, sebelum menutup tirainya selepas berlangsung di Avari Hotel, Lahore pada 20 dan 21 Feb.
-- BERNAMA
sumber: http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=1014814