KARACHI - Sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Shah telah disambut meriah walaupun secara sederhana bertempat di Bangunan Konsulat Jeneral Malaysia, Karachi pada 5 Jun 2010. Majlis diadakan mulai jam 8.30-10.30 pagi dihadiri oleh 60 orang yang terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan Konsulat, Pelajar-pelajar Madrasah dan Rakyat Malaysia yang bermastautin di Karachi.
Hari yang bersejarah ini di mulai dengan Program Menaikkan 'Jalur Gemilang' dan Nyanyian 'Negara Ku' yang diketuai oleh Tuan Konsul Jeneral, Mohd. Khalid Abdul Razak. Seterusnya Majlis disusuli dengan Ucapan Tuan Konsul Jeneral yang bertemakan 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara' yang secara ringkasnya menyentuh antara Prinsip-Perinsip yang terdapat dalam Rukun Negara, Peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai lambang perpaduan rakyat serta tanggungjawab setiap warganegara untuk menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Kerajaan yang memerintah.
Tuan Konsul Jeneral memaklumkan bahawa Perpaduan Negara adalah merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan. Sehubungan ini, beliau mengajak semua Rakyat Malaysia di Karachi sama-sama memikul tanggungjawab diamanahkan untuk menjaga dan mempertahankan Kedaulatan Negara. Semua hadirin juga mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta kemakmuran dan keselamatan Malaysia. Ucapan Tuan Konsul Jeneral diakhiri dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali yang dilaungkan bersama-sama oleh semua hadirin.
Sebelum sarapan pagi 'Nasi Lemak Sambal Udang' dihidangkan, Majlis Penyampaian Sijil-Sijil Penghargaan dan Pemberian Hadiah kepada Pegawai dan Kakitangan telah diadakan yang disempurnakan oleh Tuan Konsul Jeneral.
'Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku'.