Mission News

Memartabatkan Bahasa Melayu di Bumi Rusia

10 September 2009 1 views

Memartabatkan Bahasa Melayu di Bumi Rusia

En. Abd. Razak dan pegawai-pegawai Kedutaan bersama pelajar Rusia di Persatuan Nusantara
En. Abd. Razak dan pegawai-pegawai Kedutaan bersama pelajar Rusia di Persatuan Nusantara

 

En. Abd. Razak Abdul Wahab dan pegawai-pegawai Kedutaan telah melakukan lawatan ke Persatuan Nusantara, Institut Pengajian Oriental, Moscow State University pada 7 September 2009.

Dalam ucapan aluannya, En. Abd. Razak mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar Rusia kerana telah memilih Bahasa Melayu sebagai bahasa pengajian mereka berbanding bahasa-bahasa Eropah seperti Jerman atau Perancis yang lebih popular. Pihak Kedutaan, tambah beliau, sentiasa bersedia membantu Persatuan Nusantara dan para pelajarnya untuk memperkayakan lagi pengetahuan mereka dalam Bahasa Melayu dan Malaysia melalui program-program anjuran bersama.

 

Pegawai Kedutaan bersama-sama Cikgu Eugena dan pelajar-pelajar Persatuan Nusantara
Pegawai Kedutaan bersama-sama Cikgu Eugena dan pelajar-pelajar Persatuan Nusantara

 

Dalam pertemuan selama 90 minit tersebut, pelajar-pelajar Rusia menggunakan kesempatan kehadiran pegawai-pegawai Kedutaan untuk bertanyakan soalan, di dalam Bahasa Melayu, mengenai Malaysia dan pandangan warga Malaysia mengenai masyarakat dan negara Rusia. Kebolehan pelajar-pelajar Rusia, yang rata-ratanya baru 2 tahun mempelajari Bahasa Melayu menggunakan tatabahasa, nahu dan perkataan yang betul dan tepat amat membanggakan.

 

En. Ammar, Pengarah Kanan Tourism Malaysia turut mengalu-alukan usaha Persatuan Nusantara untuk mempelajari dan mengenali budaya Malaysia. Beliau turut memaklumkan beberapa pelajar dari Persatuan Nusantara turut bersama-sama mempelajari tarian-tarian tradisional Malaysia di bawah Kumpulan Budaya Intan dan telah mengadakan persembahan di sekitar Moscow.

 

En. Ammar (tiga dari kiri) bersama Hassan, Jamilah, Marina dan Ibrahim, pelajar-pelajar Persatuan Nusantara yang mengikuti Kumpulan Intan
En. Ammar (tiga dari kiri) bersama Hassan, Jamilah, Marina dan Ibrahim, pelajar-pelajar Persatuan Nusantara yang mengikuti Kumpulan Intan

 

Persatuan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1976 lagi, terlibat dalam usaha-usaha pengajaran Bahasa Melayu Malaysia secara formal kepada pelajar-pelajar Rusia. Pada masa yang sama, peneraju Persatuan tersebut Dr. Tatiana dan Dr. Eugena turut berkongsi bersama-sama pelajar mereka mengenai kebudayaan dan cara hidup rakyat Malaysia. Bahan-bahan kesusasteraan Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu juga telah diterjemahkan ke Bahasa Rusia dalam usaha memperkenalkan lagi Malaysia dan sejarahnya kepada audiens Rusia.

Antara kejayaan-kejayaan signifikan Persatuan Nusantara ialah salah seorang pelajarnya Olga Vasilevskaya atau nama Melayunya, Azizah, telah menjadi johan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa pada tahun 2007. Rakan beliau, Alena Bykova pula mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang sama pada 2008.

 

Cikgu Eugena bersama-sama pemenang tempat ketiga Pidato 2007, Alena
Cikgu Eugena bersama-sama pemenang tempat ketiga Pidato 2007, Alena

Share:
Link copied to clipboard
Back