Mission News

Pekeliling Makluman Mengenai Penggunaan Pasport dan Visa oleh Pelajar Malaysia

01 September 2009 1 views

Pekeliling Makluman Mengenai Penggunaan Pasport dan Visa oleh Pelajar Malaysia


Pihak Kedutaan mengambil serius insiden-insiden konsular yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia seperti visa tamat tempoh, tempoh sah dokumen perjalanan kurang daripada apa yang ditetapkan dan kegagalan mengemukakan dokumen perjalanan yang sah di pintu masuk imigresen.

 

2. Pihak Kedutaan ingin mengingatkan bahawa adalah merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang mana-mana negara, termasuk Persekutuan Rusia, bagi mana-mana individu yang cuba memasuki atau meninggalkan negara tersebut (termasuk Rusia) tanpa menggunakan dokumen perjalanan (pasport dan visa) yang sah.

 

3. Antara tindakan-tindakan yang boleh diambil termasuklah menghantar semula individu tersebut ke destinasi asal (deportation), denda dan/atau hukuman penjara. Memandangkan isu-isu ini adalah di bawah bidang kuasa dan jurisdiksi pihak berkuasa tempatan, pihak Kedutaan tidak dapat berkompromi atau membantu menyelesaikan isu tersebut sekiranya para pelajar sendiri gagal memastikan dokumen-dokumen berkenaan berada di dalam keadaan sempurna. Pihak Kedutaan juga tidak teragak-agak untuk melaporkan secara rasmi kepada penaja atau penjaga pelajar mengenai sebarang kecuaian berhubung isu visa dan pasport yang dilakukan oleh pelajar.

 

4. Sehubungan dengan itu, pihak Kedutaan ingin sekali lagi mengingatkan para pelajar Malaysia supaya:

    • memeriksa butiran peribadi di dalam visa seperti nama, jantina dan tarikh sah dokumen selepas dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab;
    • memastikan tempoh sah visa meliputi tempoh bercuti dan tarikh ketibaan semula ke Moscow selepas cuti semester;
    • memastikan butiran peribadi di dalam pasport yang dimiliki adalah tepat selepas dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab;
    • memastikan bahawa tarikh sah pasport pelajar tidak kurang daripada 18 bulan; dan
    • memastikan dokumen perjalanan sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan selamat.

5. Sekiranya mana-mana dokumen tersebut perlu dikemaskini atau dipohon pembaharuan, pihak Kedutaan menyarankan supaya para pelajar melakukan proses yang sewajarnya sama ada di Kedutaan (untuk urusan pasport) atau di Pejabat Dekanat Universiti (urusan visa) sebelum meninggalkan Rusia untuk cuti semester.

 

6. Bagi kes-kes kehilangan, kecurian atau keciciran passport di Rusia, pihak Kedutaan ingin mengingatkan bahawa para pelajar supaya:

    • segera membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran;
    • hadir ke Kedutaan bersama-sama dokumen sokongan berikut:
      1. Borang Permohonan Pasport Malaysia IM 42 Pin 1/97 (Boleh diperolehi di Kedutaan atau dimuat turun dari laman web Jabatan Imigresen - sila cetak kedua-dua mukasurat pada satu helaian);
      2. Dua keping gambar berlatarbelakang biru berukuran 3.5 x 5 cm Salinan sah Pasport Malaysia (lama);
      3. Salinan sah Sijil Kelahiran;
      4. Salinan laporan kehilangan pasport yang telah dilakukan di Balai Polis di kawasan pasport tersebut hilang; dan
      5. Surat pengesahan dari universiti
    • mengisi Borang Soal Selidik mengenai kehilangan pasport;
    • membayar caj permohonan pasport baru iaitu Rb. 3,500.00.

7. Bagi para pelajar yang memerlukan dokumen perjalanan dengan segera, pihak Kedutaan boleh mengeluarkan Sijil Perakuan Cemas (Emergency Certificate - EC) yang membolehkan pelajar pulang ke Malaysia sahaja. Adalah diingatkan bahawa para pelajar masih diperlukan untuk mendapatkan visa keluar dari Pejabat Dekanat Universiti sebelum meninggalkan Rusia.

 

8. Bagi pelajar yang telah pulang ke Malaysia, permohonan pasport baru boleh dilakukan di mana-mana Jabatan Immigresen yang berhampiran. Adalah diingatkan bahawa para pelajar perlu mendapatkan surat jemputan dari pihak Universiti sebelum visa boleh dipohon di Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur.

 

9. Untuk makluman, pengeluaran pasport baru akibat kehilangan pada lazimnya mengambil masa yang lebih lama memandangkan keputusan pengeluaran pasport baru terletak pada budibicara Jabatan Imigresen Malaysia setelah ia selesai menjalankan siasatan kehilangan tersebut.

 

10. Bagi pelajar-pelajar yang kehilangan, kecurian atau keciciran pasport di negara ketiga, sila hubungi Kedutaan/Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang terdekat untuk proses permohonan EC. Maklumat hubungan semua Kedutaan/Suruhanjaya Tinggi Malaysia boleh diperolehi di laman web Kementerian Luar Negeri http://www.kln.gov.my. Adalah diingatkan bahawa EC tersebut hanya boleh digunakan untuk perjalanan pulang ke Malaysia sahaja dan bukan untuk para pelajar pulang ke Rusia atau pergi ke destinasi-destinasi lain.

 

11. Seperti amalan sebelum ini, pihak Kedutaan sentiasa komited dalam membantu rakyat Malaysia

terutamanya pelajar Malaysia yang terlibat di dalam kesukaran. Walau bagaimanapun, pihak Kedutaan ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap pelajar untuk memastikan kesemua dokumen-dokumen perjalanan mereka sentiasa berada di dalam keadaan sempurna.

 

Kedutaan Besar Malaysia, Moscow
2 September 2009

Share:
Link copied to clipboard
Back