Pada hari Khamis 9 September 2010, Kedutaan Besar Malaysia di Moscow telah mengadakan sambutan perayaan Aidilfitri di Dewan Besar Kedutaan. Sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan, laungan takbir raya telah dimulakan seawal jam 9 pagi. Sejurus selepas selesai solat Aidilfitri, khutbah Hari Raya pula disampaikan oleh Attache Pertahanan, Kolonel Abdul Manaf dan disusuli dengan ucapan ringkas oleh Kuasa Usaha Sementara, Encik Abd Razak Abdul Wahab kepada tetamu-tetamu yang hadir.
Di samping pegawai-pegawai Kedutaan sendiri, sambutan Aidilfitri pada tahun 2010 ini dihadiri oleh seramai hampir 500 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia di sekitar Moscow dan juga St. Petersburg serta beberapa orang rakyat Malaysia yang bertugas di Moscow. Pelbagai juadah raya turut disajikan kepada tetamu-tetamu yang hadir dengan dialunkan oleh dendangan lagu-lagu Hari Raya bagi memeriahkan lagi suasana di bulan Syawal.