Mission News

MAJLIS RAMAH MESRA KONSUL JENERAL BERSAMA RAKYAT MALAYSIA DI RABIGH

05 November 2025 1 views

30 Oktober 2025 - Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Encik Roslan Sharif, mengadakan lawatan kerja ke Rabigh, Arab Saudi bagi menyantuni rakyat Malaysia yang menetap di sana. Rabigh merupakan sebuah daerah yang terletak kira-kira 160km di utara Jeddah.

Majlis makan malam yang diadakan di salah sebuah hotel tempatan, dihadiri oleh kumpulan professional dan teknikal yang bertugas di Petro Rabigh, sebuah syarikat petrokimia milik Arab Saudi.

Dalam ucapan alu-aluan, Konsul Jeneral berkongsi maklumat semasa mengenai keistimewaan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia. Beliau memberikan penerangan mengenai perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada rakyat Malaysia di luar negara. Beliau turut menyampaikan nasihat kepada rakyat Malaysia supaya saling hormat-menghormati, bekerjasama dan sentiasa menjaga nama baik negara. Konsul Jeneral juga meluangkan masa mendengar permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di Rabigh. 

Ketika ini, terdapat hampir 50 orang rakyat Malaysia menetap di Rabigh. Konsul Jeneral menasihatkan mereka supaya mendaftar diri dan ahli keluarga dengan Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah sepanjang keberadaan mereka di Arab Saudi.

Terima kasih diucapkan kepada Encik Jamal Mohamed Sulaiman dan komuniti Malaysia di Rabigh atas kehadiran ke majlis serta sambutan mesra yang diberikan kepada delegasi Konsulat.

 

 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back