
Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah membuat pengumuman rasmi bahawa 15 Syawal 1446H (13 April 2025) adalah hari terakhir bagi jemaah umrah memasuki Arab Saudi dan kesemua jemaah umrah perlu meninggalkan Arab Saudi selewat-lewatnya pada 1 Zulkaedah 1446H (29 April 2025).
Susulan dari itu, pihak berkuasa Arab Saudi telah mula meningkatkan langkah-langkah kawalan dan memperketatkan peraturan-peraturan yang berkaitan.
Bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini menimpa jemaah Malaysia, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah menasihatkan supaya semua jemaah sentiasa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
Kepada mana-mana jemaah yang berhasrat menunaikan umrah pada saat akhir, Konsulat Jeneral Malaysia menasihatkan agar menangguhkan rancangan mereka ke suatu tarikh lain selepas musim haji 1446H berakhir.