Mission News

Pelabur Arab Saudi tidak terjejas

15 December 2009 1 views

Pelabur Arab Saudi tidak terjejas

JEDDAH, 20 Sept. - Perkembangan politik di tanah air sejak kebelakangan ini sedikit pun tidak menjejaskan keyakinan pelabur Arab Saudi untuk terus menjalin hubungan perniagaan di Malaysia.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Persatuan Persahabatan Arab Saudi-Malaysia yang baru, Sheikh Abdul Khalik Saeed kepada kumpulan wartawan Malaysia di kediamannya di sini semalam.

Keyakinan tersebut diperkukuhkan apabila Dewan Perniagaan Arab Saudi-Malaysia dilancarkan hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpaksa membatalkan kunjungan beliau ke sini kerana ingin menumpukan tugas baru di dalam negara.

"Sejak tiga tahun lalu hubungan perdagangan antara Arab Saudi-Malaysia bertambah kukuh dan begitu juga hubungan antara ahli perniagaan kedua-dua negara," kata Sheikh Abdul Khalik.

Beliau yang merupakan ahli lembaga Dewan Perdagangan dan Industri Jeddah berpandangan memang terdapat perbezaan ekonomi Malaysia semasa era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas perdana menteri yang lalu kerana mereka mempunyai pendekatan yang berbeza. "Tetapi ekonomi Malaysia tetap kukuh stabil.

Malaysia sebuah negara yang kukuh ekonominya dan terus membangun. Saya percaya pelantikan saya sebagai Presiden Persatuan Persahabatan Arab Saudi-Malaysia adalah untuk membantu dan mengukuhkan lagi kerjasama ahli-ahli perniagaan serta hubungan kedua-dua pemimpin negara.

- Mingguan

"Kedua-dua negara adalah negara Islam. Kita adalah bersaudara. Untuk menjadikan hubungan kerjasama bertambah kuat, kami juga memerlukan bantuan kepakaran dari Malaysia," jelas Pengerusi dan pemilik A.K.Saeed Group yang mempunyai rangkaian kepentingan dalam 10 syarikat termasuk kilang getah tiruan, pembuatan makanan, restoran di Jeddah , Riyadh, Lebanon, Mesir dan Perancis. Sheikh Abdul Khalik yang bercadang berkunjung ke Malaysia pada Oktober ini berkata beliau akan meninjau peluang-peluang yang boleh diterokai ahli perniagaan Arab saudi terutama dalam bidang pembinaan, telekomunikasi, perbankan dan insurans. Di samping itu, beliau berkata banyak syarikat besar dari Malaysia yang berkelayakan dalam bidang pembinaan mempunyai peluang besar untuk mendapat projek di Arab Saudi. Tinggal lagi katanya, "bagaimana kedua-dua pihak dapat bekerjasama dan menjalin hubungan bisnes. Apatah lagi kita semua bersaudara." Kewujudan Persatuan Persahabatan Arab Saudi-Malaysia yang berusia 17 tahun ini adalah inisiatif Almarhum Raja Fadh. Ia adalah manifestasi untuk mendapatkan bantuan Malaysia bagi meredakan kemarahan dan memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat Islam tentang dasar-dasar Kerajaan Arab Saudi berikutan peranannya dalam Perang Teluk yang pertama pada 1991.Kini persatuan ini bergerak selangkah lagi dalam mengukuhkan hubungan kerjasama kedua-dua negara dengan penubuhan Persatuan Dewan Perniagaan Malaysia-Arab Saudi.


Share:
Link copied to clipboard
Back