Riyadh, 8 Jun - Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi telah menganjurkan Majlis Makan Malam sempena Sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada malam tadi bertempat di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi.
Majlis yang dihadiri oleh hampir 250 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di sekitar Riyadh tersebut berlangsung hampir dua jam bermula jam 7.30 malam sehingga 10.30 malam.
Majlis dimulakan dengan nyanian lagu Negaraku oleh semua hadirin serta bacaan doa oleh Tuan Haji Lokman Alias, Penasihat Kedutaan dan seterusnya ucapan oleh Tuan Haji Nekmat Ismail, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan. Dalam ucapan beliau, Tuan Haji Nekmat menekankan akan kepentingan untuk rakyat Malaysia mendaftarkan diri masing-masing dengan Kedutaan bagi memudahkan sebarang urusan mereka pada masa akan datang.
Beliau turut mengalu-alukan serta berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan keluarga yang telah sudi memeriahkan sambutan tersebut.
Rakyat Malaysia di sekitar Riyadh kebanyakannya adalah dari golongan profesional yang bekerja dengan syarikat swasta serta jururawat-jururawat yang bekerja di pelbagai hospital kerajaan dan swasta di sini.
Warga Kedutaan Besar Malaysia, Riyadh.