Mission News

SEHARI BERSANTAI DI DUSUN BUAH-BUAHAN SUPATTRA, RAYONG 23 MEI 2009

25 May 2009 1 views

SEHARI BERSANTAI DI DUSUN BUAH-BUAHAN SUPATTRA, RAYONG

23 MEI 2009

 

Pihak Kedutaan melalui Biro Sosial dan Kebajikannya dan sokongan padu dari PERWAKILAN telah berjaya mengaturkan satu program bersifat santai yang melibatkan kakitangan Kedutaan bersama keluarga masing-masing pada 23 Mei 2009 yang lalu. Sejumlah lebih dari 60 orang HBS dan LRS telah terlibat dalam program tersebut. Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran TYT Dato’ Husni Zai Yaacob dan YBhg. Datin Norshiha Hasbullah. Ia menyelitkan lawatan ke dua buah kilang barangan dapur dan kristal di sekitar Chonburi dan Rayong. Namun, kemuncak program semestinya sesi menjamu selera buah-buahan tempatan di Dusun Buah-Buahan Supattra.

 

2.         Dusun Buah-Buahan Supattra merupakan satu destinasi pelancongan yang terkenal di wilayah Rayong yang menjadi tarikan bagi peminat buah-buahan. Dusun yang luas terbentang itu dibuka kepada orang ramai dan menawarkan pelbagai pilihan buah-buahan seperti durian, manggis, rambutan, mangga, belimbing, limau bali, salak, dragon fruit dan pelbagai jenis buah-buahan yang lain. Malahan anggur juga turut ditanam meski pun musim berbuahnya hanya akan tiba sebulan lagi. Bagi kakitangan kedutaan warga Malaysia, sudah pasti thoo-rian (cara sebutan durian di kalangan warga Thai) menjadi tumpuan ramai.

 

3.         Sama ada ia satu suratan atau kebetulan, penganjuran program tersebut bertepatan dengan perayaan International Day of Families anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 15 Mei setiap tahun. Program ringkas sehari ini berjaya mencapai objektifnya apabila tergambar riak wajah riang di muka mereka yang terbabit. Ia merupakan satu kaedah untuk mengeratkan silaturahim dan acara riadah sebagai penghargaan kepada penat lelah dan komitmen yang diberikan oleh semua kakitangan dalam menjayakan beberapa program besar yang diuruskan oleh pihak Kedutaan sepanjang tahun 2009 ini.

 

 

MW Bangkok

24 Mei 2009

 

 

 

 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back