SEKITAR SAMBUTAN AIDIL ADHA
DI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA, BANGKOK
28 NOVEMBER 2009
Sempena sambutan Aidil Adha 1430, Kedutaan Besar Malaysia melalui Biro Agama telah menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menghayati tuntutan dan semangat Aidil Adha itu sendiri.
Pada malam Aidil Adha yang secara kebetulan jatuh pada malam Jumaat, satu majlis bacaan Yaasin telah diadakan di surau Apartmen HBS dengan dihadiri oleh pegawai dan kakitangan Kedutaan termasuk TYT Dato’ Husni Zai Yaacob. Para jemaah yang hadir juga telah turut bertakbir bersama-sama bagi menghidupkan malam tersebut.
Keesokan harinya setelah selesai menunaikan solat Aidil Adha, beberapa kakitangan Kedutaan yang turut menyertai ibadah korban telah bersama-sama menyaksikan sendiri dua ekor lembu yang dikongsi bersama anggota Kedutaan dikorbankan berhampiran masjid. Daging korban tersebut seterusnya diagihkan mengikut tuntutan agama dan sebahagian disedekahkan kepada anggota Kedutaan.
Pada sebelah malamnya, satu majlis sambutan Aidil Adha secara sederhana telah diadakan di lobi Apartmen HBS. Ia dihadiri oleh lebih kurang 100 orang termasuk kakitangan Kedutaan dan keluarga masing-masing serta beberapa pelajar Malaysia yang meneruskan pengajian dan berkursus di universiti di sekitar Bangkok. Majlis tersebut diadakan berdasarkan konsep kerjasama dan pot luck dengan masing-masing menyumbangkan juadah seadanya.
Kemeriahan majlis sambutan tersebut jelas terpancar di riak wajah mereka yang hadir apabila kesempatan yang terhidang digunakan untuk bertukar-tukar pandangan dan cerita di kalangan anggota Kedutaan. Kesempatan tersebut turut dimanfaatkan oleh beberapa anggota Kedutaan yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan di Bangkok tidak lama lagi untuk beramah mesra dalam suasana perayaan buat kali terakhirnya.
Malawakil Bangkok
28 Disember 2009