Mission News

SEMARAK BAHASA MELAYU DI UNIVERSITI CHULALONGKORN, 15 MEI 2012

16 May 2012 1 views

 Kedutaan Besar Malaysia telah dipelawa oleh Unit Bahasa Melayu, Jabatan Sastera Universiti Chulalongkorn di Bangkok untuk mengadakan satu sesi khas bersama sekumpulan pelajar Bahasa Melayu dari Pusat Latihan Tentera Darat (PLTD), Thailand bagi membolehkan pelatih-pelatih tersebut berinteraksi secara langsung dengan penutur asli demi meningkatkan lagi kemahiran bertutur mereka.

 

Seramai 15 pelatih dari PLTD telah hadir ke sesi tersebut di mana beberapa orang pelajar Bahasa Melayu dari Universiti Chulalongkorn juga telah turut memeriahkan sesi khas tersebut. Selama hampir tiga jam sesi tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti perbualan telah diadakan di mana setiap pelatih dan pelajar yang hadir telah berpeluang untuk mempraktikkan kebolehan masing-masing di samping kesempatan untuk mendengar contoh perbualan melalui rakaman video.

 

Kesungguhan PLTD serta beberapa universiti di Thailand menawarkan kursus Bahasa Melayu kepada pelatih dan pelajarnya amat bertepatan dengan masanya tatkala negara-negara anggota ASEAN sedang rancak menyiapkan diri untuk menjadi satu komuniti bebas tanpa sempadan menjelang tahun 2015. Kedutaan Besar Malaysia amat menyokong usaha tersebut selaras dengan usaha untuk melebarkan aktiviti diplomasinya di samping menyokong usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi perkembangan Bahasa Melayu di nusantara.

 

 

Malawakil Bangkok

16 Mei 2012

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back