Pada 13 hingga 15 Februari 2026, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menyertai penganjuran “Festival Melayu Day@Yala 2026” Kali Ke-11 yang berlangsung di Chang Phuak Park, Yala. Program tahunan anjuran Majlis Perbandaran Yala ini turut melibatkan Konsulat Republik Indonesia di Songkhla, agensi-agensi kerajaan, media tempatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Wilayah Selatan Thailand. Penyertaan Malaysia telah mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi dan institusi termasuk Tourism Malaysia di Bangkok, UiTM (Cawangan Arau, Machang dan Shah Alam), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Majlis Agama Islam Kelantan, Pejabat Felda Wilayah Terengganu, Universiti Islam Selangor (UIS) serta beberapa syarikat swasta Malaysia.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan kerjasama Tourism Malaysia Bangkok turut mengambil peluang sempena program ini untuk mempromosikan sektor pelancongan Malaysia kepada warga Thailand bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan aliran pelancong Thailand ke Malaysia serta memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.
Festival yang berlangsung selama tiga hari ini berjaya menarik kira-kira 30,000 pengunjung dari Wilayah Selatan Thailand khususnya Yala, Pattani dan Narathiwat, selain pelancong asing. Pelbagai pengisian telah diadakan termasuk pameran pendidikan dan pelancongan, promosi produk Malaysia, persembahan kebudayaan serta aktiviti interaktif seperti permainan tradisional dan demonstrasi mencanting batik. Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla turut menyampaikan ucaptama yang menekankan kepentingan kesaksamaan budaya, persaudaraan serta hubungan erat antara masyarakat Selatan Thailand dan Malaysia.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya memperkukuh diplomasi warisan dan kebudayaan serta mengeratkan hubungan masyarakat antara Malaysia dan Selatan Thailand. Penyertaan Malaysia turut menerima liputan meluas daripada media tempatan termasuk NBT Yala serta platform rasmi Kerajaan Wilayah Yala, sekali gus meningkatkan visibiliti dan memperkukuh imej positif Malaysia di Wilayah Selatan Thailand.


