Pada 7 Mac 2026, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan kerjasama PERWAKILAN Songkhla telah menganjurkan Majlis Iftar Ramadan yang diadakan di pejabat Konsulat. Majlis tersebut berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan kemesraan.
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil, doa selamat dan tazkirah ringkas diikuti dengan sesi berbuka puasa bersama yang menghimpunkan warga Konsulat, ahli PERWAKILAN serta para jemputan. Juadah berbuka puasa turut disediakan secara gotong-royong oleh ahli PERWAKILAN, sekali gus menyemarakkan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan komuniti Malaysia di Songkhla.
Program kemudiannya diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Terawih secara berjemaah, yang dipimpin oleh Imam jemputan, sekali gus menambah penghayatan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Malaysia di Songkhla, malah turut memupuk semangat kebersamaan, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan komuniti Malaysia di luar negara, khususnya dalam menghayati kemuliaan bulan Ramadan.
