Mission News

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN MALAYSIA KE-64

01 September 2021 1 views

 

Pada 30 Ogos 2021, majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 telah diadakan bersama home-based staff bertempat di Perutusan Tetap Malaysia ke PBB, New York.

 

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti bacaan ikrar yang dipimpin oleh Kol. Mohamad Suria Mohamad Saad, Penasihat Pertahanan.

 

TYT Dato’ Syed Mohamad Hasrin, Wakil Tetap Malaysia ke PBB, dalam ucapan beliau berkata Tema Hari Kebangsaan Malaysia tahun ini yang masih kekal sama iaitu “Malaysia Prihatin” mengambil kira usaha berterusan Kerajaan untuk menambahbaik kebajikan kesihatan dan ekonomi, serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia akibat impak pandemik Covid-19. Tema “Malaysia Prihatin” juga bukan sahaja dizahirkan di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Ini terbukti apabila Malaysia telah menyertai COVAX yang diterajui bersama oleh ‘The Global Alliance for Vaccine and Immunisation’ (GAVI), ‘Coalition for Epidemic Preparedness Innovations’ dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bertujuan untuk meningkatkan pembangunan dan penghasilan vaksin Covid-19 dan memastikan akses vaksin Covid-19 yang adil dan berkesan untuk semua negara di seluruh dunia.

 

Malaysia juga komited dalam membantu masyarakat antarabangsa yang berdepan dengan kesusahan sepanjang pandemik Covid-19. Keprihatinan dan solidariti Malaysia juga telah dizahirkan melalui sumbangan konsisten kepada United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA) dan bantuan kewangan kepada United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (UNOCHA). Sumbangan dan bantuan ini meliputi pembinaan semula fasiliti ujian Covid-19 di Gaza yang telah musnah dan barangan perubatan.

 

TYT Wakil Tetap juga turut menyeru semua kakitangan agar menjadi pendorong dan pemangkin kepada usaha-usaha memajukan dan memakmurkan negara tercinta dan bersama-sama berganding bahu dalam memelihara dan menyemarakkan semangat kemerdekaan, patriotisme dan perpaduan.

 

Usai ucapan oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB, majlis diteruskan dengan tayangan video  khas daripada Tourism Malaysia iaitu Malaysia Travel Guide – Malaysia Truly Asia Come and Be Amazed diakhiri dengan jamuan ringkas.

 

Share:
Link copied to clipboard
Back