
Pada 1 September 2020, sebuah majlis sederhana tetapi meriah telah diadakan bersama home-based staff sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63 bertempat di Perutusan Tetap Malaysia ke PBB, New York. Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini tambah bermakna kerana bersekali dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang menjadi asas kepada identiti negara dan penyatuan rakyat.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti bacaan ikrar yang dipimpin oleh Kol. Mohamad Suria Mohamad Saad, Penasihat Pertahanan.
Dalam ucapan beliau, TYT Dato' Syed Mohamad Hasrin, Wakil Tetap Malaysia ke PBB, berkata tema Hari Kebangsaan kali ini iaitu "Malaysia Prihatin" adalah simbolik kecaknaan negara dan rakyat Malaysia dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 yang telah mengambil sejumlah 125 nyawa di Malaysia dan lebih 800 ribu nyawa di seluruh dunia. Tema berkenaan juga mengambil kira usaha Kerajaan Malaysia untuk memperkukuh tahap kesihatan umum dan memulihkan ekonomi serta kelangsungan hidup rakyat pasca COVID-19.
Perwakilan Malaysia di luar negara juga jelas memainkan peranan penting, contohnya Konsulat Jeneral Malaysia di New York yang menjadi barisan hadapan bagi rakyat Malaysia tatkala bandaraya New York City menjadi lokaliti paling teruk terjejas dengan wabak COVID-19 di seluruh Amerika Syarikat pada suatu masa. Bagi Perutusan Tetap Malaysia ke PBB pula, tugas terus dilaksanakan meskipun tiada pertemuan secara fizikal dapat diadakan. Biarpun berdepan dengan cabaran COVID-19, Malaysia telah berjaya menerajui dua inisiatif penting iaitu 1) meraih sokongan 172 negara anggota PBB dan pemerhati bagi merealisasikan usaha gencatan senjata secara global dan memerangi ancaman COVID-19; dan 2) menerajui inisiatif ke arah usaha untuk merealisasikan dunia tanpa senjata nuklear sempena ulang tahun ke-50 Triti Mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear (Treaty on the Non Proliferation of Nuclear Weapons, NPT).
Usai ucapan oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB, majlis diteruskan dengan tayangan video Konsert Khas Orkestra Filharmonik Malaysia "Perpaduan Dalam Kepelbagaian", hasil usaha sama Wisma Putra dan Orkestra Filharmonik Malaysia, dan diakhiri dengan jamuan ringkas.



