Pada 8 September 2012, satu Majlis Makan Malam Merdeka-raya telah diadakan di Hotel Equatorial. Majlis yang gilang gemilang ini adalah hasil gabungan daripada Pejabat Konsulat Jeneral dengan “Malaysia Business of Chamber”.
Majlis ini diadakan sebagai sambutan hari raya sekaligus meraikan Hari Kemerdekaan yang ke 55. Majlis sambutan kali ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Kumpulan Kebudayaan USM yang diterbangkan khas dari Pulau Pinang untuk membuat persembahan sepanjang majlis dijalankan. Persembahan yang mantap dari kumpulan ini telah memeriahkan lagi majlis tersebut dan secara tidak langsung mempamerkan dan memperkenalkan keindahan tarian tradisional Malaysia dikalangan jemputan Vietnam dan Antarabangsa.
Selain dari itu, majlis tersebut turut dimuatkan dengan upacara bacaan ikrar yang disempurnakan oleh anak-anak Malaysia yang berada di Ho Chi Minh City, bagi menerapkan semangat sayangkan Malaysia dikalangan generasi muda.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh TYT Dato’ Azmil Mohd Zabidi, Ambassador Malaysia ke Vietnam yang sentiasa berusaha untuk mendekati rakyat Malaysia diseluruh Vietnam.
Pelbagai jenis sajian telah dihidangkan di majlis tersebut. Antaranya, asam laksa, tosei dan ais kacang serta beraneka jenis makanan tradisional yang lain.
Secara keseluruhannya, majlis ini menggamit seribu kenangan dan kebahagiaan kepada seluruh warganegara Malaysia di Ho Chi Minh City yang berada jauh dari tanahair. Terpancar kemesraan dan kegembiraan diwajah masing-masing tanda puas dan menikmati kemeriahan majlis tersebut.
Pihak Konsulat Jeneral mengucapkan terima kasih di atas kesudian para pengunjung yang hadir dimajlis tersebut. Moga tali persahabatan kita ini akan kekal sampai bila-bila.
Sekian terima kasih.