Mission News

LAWATAN KELAB SUKAN DAN SOSIAL MHC KE DURBAN

26 February 2015 1 views

DURBAN, Sabtu, 28 Februari 2015 – Kelab Sukan dan Sosial MHC telah mengadakan lawatan silaturrahim ke Bandaraya Durban mulai 27 Februari 2015 hingga 1 Mac 2015. Konvoi ahli-ahli kelab dan keluarga masing-masing yang mengambil bahagian didalam lawatan ini memulakan perjalanan ke Bandaraya Durban pada petang hari Jumaat dengan mengambil masa lebih enam (6) jam termasuk berhenti untuk makan / minum petang di Bandar Harrismith yang terletak ditengah-tengah diantara Johannesburg dan Durban. Rombongan tiba di Durban pada jam 9 malam dan disambut oleh Encik Kamal Azmi Kamarudin, Pengurus Wilayah (Regional Manager), Malaysian Palm Oil Council (MPOC) yang berkhidmat di Pejabat Wilayah MPOC di Durban. Sebaik sahaja ketibaan kami, Encik Kamal Azmi telah menjamu makan malam kepada semua ahli rombongan di hotel penginapan kami.
 
Keesokan harinya Encik M.Jehan Zaib B. M.Yusof, Pengurus Besar Engen Petroleum Limited (Engen Refinery) telah mengatur permainan golf untuk sebahagian daripada ahli Rombongan di Mount Edgecombe Golf Club, manakala ahli yang lain bersama keluarga ke Taman Tema Air dan Akuarium Ushaka. Sebaik sahaja permainan Golf tamat, Encik M.Jehan Zaib B.M.Yusof serta isteri beliau telah menjemput semua ahli rombongan dan Encik Kamal Azmi ke rumah beliau untuk menikmati ‘High Tea’.
 
Pada malamnya rombongan bersiar-siar di Getaway Mall dan pada pagi hari Ahad, rombongan menikmati sarapan di pantai Durban sebelum bertolak pulang ke Pretoria melalui Bandar Harrismith.
 
Lawatan ini adalah sebahagian daripada aktiviti awal tahun kelab. Lawatan ke Durban diadakan kerana suasana kemeriahan di Bandaraya tersebut berbanding Pretoria dan Johannesburg yang agak muram atas faktor keselamatan. Fenomena yang jelas, Durban mempunyai ramai penduduk warga ‘coloured’ Afrika Selatan dari keturunan India yang agak ketara. Lawatan berkenaan juga memberi peluang kepada pegawai dan keluarga MHC beramah mesra dengan pegawai dan keluarga MPOC dan Engen Petroleum Limited (yang juga adalah sebahagian syarikat subsidiari Petronas). Kelab Sukan dan Sosial MHC ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Kamal Azmi dan Encik M.Jehan Zaib M.Yusof yang mengaturkan program di Durban dengan jamuan dan layanan mesra sepanjang dua hari berada di Durban.
 
Web Admin
Suruhanjaya Tinggi Malaysia
Pretoria

 

 

 

More photos at Folder No.6

 

Share:
Link copied to clipboard
Back