YB Dato' Sri Anifah Aman, Menteri Luar Negeri telah mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 29-30 Mei 2016. YB Dato' Sri diiringi oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri. Lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneliti dan menilai hubungan baik sedia ada di antara Malaysia dan UAE.
YB Dato' Sri semasa lawatan tersebut telah mengadakan pertemuan dengan HH Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan, Menteri Luar Negeri UAE. Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua Menteri membincangkan usaha-usaha untuk mengekalkan momentum hubungan dua hala di antara Malaysia dan UAE serta meluaskan jaringan kerjasama yang merangkumi pelbagai bidang. Kedua-dua pihak juga membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama terutamanya dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi.