Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan satu sidang media pada hari ini, 10 April 2018 untuk mengumumkan tarikh-tarikh bagi maksud penjalanan Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14).
Bagi melancarkan lagi kaedah penghantaran undi pos pada PRU-14 ini, SPR telah memutuskan untuk menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia Berhad (PMB) sepenuhnya dalam urusan penghantaran sehala Sampul-sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi untuk pengundi-pengundi di luar negara meliputi Kategori 1B dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) pada PRU Ke-14 kali ini.
Walau bagaimanapun, penghantaran balik Sampul-sampul B yang mengandungi kertas undi ke Malaysia pula adalah menjadi tanggungjawab pengundi itu sendiri termasuk kos penghantaran yang tidak ditanggung oleh SPR. ?
Melalui beberapa siri pertemuan dan perbincangan di antara SPR dengan PMB, mekanisma penghantaran sampul keutamaan ke luar negara oleh PMB adalah menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat kurier antarabangsa (rakan strategik PMB) seperti FeDEX, ARAMEX, DHL dan TNT. ?Oleh itu, SPR telah memberikan kepercayaan kepada PMB yang lebih memahami dan arif dalam mengendalikan hal logistik serta penghantaran undi-undi pos ke luar negara.
Kertas undi pos bagi PTH dan Pengundi Pos yang layak, akan diposkan oleh PMB dua (2) hari selepas tarikh penamaan calon. Tempoh penghantaran balik semula undi pos perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus di Malaysia pada hari pengundian iaitu hari Rabu, 9 Mei 2018 sebelum jam 5.00 petang.
Perkara ini adalah penting untuk diberi perhatian sewajarnya memandangkan tempoh berkempen pada PRU kali ini hanyalah 11 hari sahaja. SPR telah memberikan peringatan kepada rakyat Malaysia yang mengundi pos di luar negara untuk tidak melewat-lewatkan penghantaran balik kertas undi pos berkenaan bagi mengelakkan kelewatan penerimaan di Pejabat Pegawai Pengurus.