SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN MALAYSIA 2013
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA
ROM, ITALI
Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-56 telah diadakan di Hotel Parco Dei Principi, Rome pada hari Isnin, 28 Oktober 2013 dari jam 6.30 petang sehingga jam 9.00 malam. Majlis ini juga turut meraikan Hari Angkatan Tentera ke-80 yang jatuh pada 16 September. Lebih daripada 300 tetamu yang terdiri daripada ahli politik, pegawai-pegawai kerajaan Itali, diplomat, ahli korporat dan perniagaan dan wakil-wakil media telah menghadiri majlis tersebut. Pihak Itali telah diwakili oleh Ambassador Andrea Perugini, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Asia dan Oceania, MFA.
2. Majlis tersebut dimulakan dengan dendangan lagu Kebangsaan Negaraku dan lagu kebangsaan negara Itali. Majlis diteruskan dengan PYT Datin Paduka Halimah Abdullah, Duta Besar Malaysia ke Itali menyampaikan ucapan alu-aluan di mana beliau menekankankan kepada keakraban dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali. PYT Duta Besar juga memaklumkan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Itali telah menunjukkan satu pencapaian yang baik dalam bidang politik, ekonomi dan pertahanan. PYT Duta Besar turut menyentuh perkembangan semasa Malaysia iaitu tentang Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme) yang dijangka akan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan dengan mentakrifkan ambang pendapatan tinggi per kapita lebih kurang USD 15,000 pada tahun 2020. Dalam ucapan balas Ambassador Andrea Perugini, beliau menyebut tentang peluang-peluang yang wujud dalam pelbagai sektor bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan dua hala.
3. Semasa majlis resepsi tersebut, tetamu-tetamu telah dihidangkan dengan pelbagai makanan juadah traditional Malaysia dan juga Itali.
4. Para tetamu juga dihiburkan oleh kumpulan kebudayaan Universiti Malaysia Perlis dengan persembahan kebudayaan serta pertunjukkan fesyen pakaian tradisional Malaysia. Malawakil Rom pada tahun ini bertuah apabila Universiti Malaysia Perlis telah berbesar hati menghantar kumpulan kebudayaannya bagi menjayakan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2013. Rata-rata para tetamu memuji persembahan kebudayaan tersebut dan sudah tentu menyemarakkan hasrat tetamu untuk mengunjungi Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
5. Majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-56 dan Hari Angkatan Tentera ke-80 telah diadakan dengan jayanya. Selain merupakan satu majlis rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Rome, majlis tersebut juga merupakan satu ruangan untuk memperkenalkan Malaysia dan budaya kita kepada ahli-ahli perniagaan dan korporat Itali. Secara tidak langsung ianya menjadi satu peluang untuk mempromosi negara Malaysia di Itali.
Kedutaan Besar Malaysia, Rome
6 November 2013