Kedutaan Besar Malaysia di Rome, Italy telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri pada hari Sabtu, 11 September 2010. Majlis tersebut telah diraikan bersama lebih kurang 100 orang hadirin yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Rome serta keluarga, pegawai agensi-agensi Malaysia di Italy, sebilangan rakyat Malaysia di Rome dan beberapa orang wakil daripada agensi-agensi Kerajaan Italy.
2. Majlis Rumah Terbuka yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri tersebut diadakan bagi memupuk serta merapatkan silatul rahim di antara pegawai dan kakitangan Kerajaan Malaysia, agensi-agensi Malaysia di Italy dan rakyat Malaysia yang bermastautin di Italy. Ia juga sebagai satu usaha menaikkan imej Malaysia di luar negara dengan memperkenalkan tradisi dan budaya Malaysia kepada wakil-wakil agensi-agensi Kerajaan Italy.
3. Kedutaan telah dibantu khasnya oleh Perwakilan Rome yang menyediakan hidangan-hidangan Malaysia seperti Nasi Lemak bersama Sambal Tumis dan Ayam Merah, Nasi Impit bersama Rendang and Kuah Kacang, Kambing Bakar dan Nasi Beriani serta dalca dan lain-lain aneka hidangan bagi santapan tetamu. Bagi rakyat Malaysia yang bermastautin di Italy, hidangan tersebut sedikit sebanyak telah mengubat rindu mereka kepada makanan Malaysia. Bagi tetamu-tetamu asing pula, hidangan tersebut merupakan peluang bagi mereka menikmati hidangan-hidangan gastronomi Malaysia.
4. Memandangkan Kedutaan turut menjemput tetamu daripada agensi-agensi Kerajaan Italy, pihak Kedutaan juga mengambil peluang semasa majlis tersebut untuk memainkan video pelancongan sumbangan pihak Tourism Malaysia dan mengedarkan risalah-risalah pelancongan kepada tetamu-tetamu. Tetamu-tetamu juga diberikan cenderahati yang dibekalkan oleh Tourism Malaysia.
5. Majlis tersebut telah berjaya bukan sahaja untuk meraikan Hari Raya Aidil Fitri bahkan sebagai satu landasan mengukuhkan semangat gagasan 1 Malaysia di kalangan rakyat Malaysia di Italy. Ianya juga berjaya sebagai usaha memupuk dan memantapkan imej Kerajaan Malaysia di luar negeri.
Kedutaan Besar Malaysia di Rome, Italy