Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini telah diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Rome, Italy pada hari Jumaat, 2 September 2011 dari jam 11.00 pagi sehingga 1.00 petang. Majlis ini telah diraikan bersama lebih kurang 100 orang hadirin yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Rome serta keluarga, pegawai dari agensi-agensi Malaysia di Italy dan sebilangan rakyat Malaysia di Italy.
2. Semua hadirin berpeluang memperkenalkan diri dan beramah mesra dengan PYT Datin Paduka Halimah Abdullah dan keluarga yang baru tiba di Italy pada 22 Ogos 2011 yang lepas. Sudah tentu sambutan kali ini cukup bermakna bagi rakyat Malaysia di Italy kerana berpeluang berjumpa dengan TYT Duta Besar yang baru.
3. Kedutaan Besar Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada Perwakilan Rome kerana membantu persiapan sambutan hari raya dan menyediakan kuih-muih Malaysia seperti murtabak, roti jala, dan kuih lapis disamping nasi tomato, rendang ayam, kari daging, ketupat pulut, karipap, apam mekar, kuih kaswi dan kuih-kuih raya yang lain yang disediakan oleh Canseri bagi santapan tetamu. Selain makanan dan juadah yang disediakan, lagu-lagu berlatarbelakang Hari Raya Aidilfitri juga turut didendangkan bagi menghidupkan kemeriahan suasana berhari raya.
4. Kesimpulannya, sambutan hari raya kali ini bukan sahaja telah berjaya mengeratkan silaturrahim yang sedia ada bahkan mengukuhkan lagi semangat gagasan 1Malaysia di kalangan rakyat Malaysia di Italy.