KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN PERSATUAN PELAJAR MALAYSIA DI JEPUN TAHUN 2011
Kejohanan Sukan Tahunan Pelajar-Pelajar Malaysia di Jepun bagi tahun 2011 telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) pada hari Sabtu, 12 November 2011. Kejohanan ini yang di adakan di Kompleks Sukan Saitama merangkumi dua acara iaitu pertandingan futsal dan pertandingan boling. Susulan daripada jemputan oleh pihak MSAJ, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah menghantar dua pasukan bagi menyertai pertandingan boling dan satu pasukan bagi pertandingan futsal. Selain dari Kedutaan Besar Malaysia, sejumlah 15 pasukan pelajar Malaysia dari pelbagai universiti di serata Jepun juga telah turut mengambil bahagian dalam pertandingan futsal dan boling ini.
Bagi pertandingan futsal, pasukan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo yang diwakili oleh Encik Wan Aznainizam Yusri, Encik Jeffery Yahya, adik Faizal Zubir, adik Fazli Zubir dan adik Muhammad Ifwat Jamuli telah berjaya muncul sebagai juara “Plate” setelah menumpaskan pasukan pelajar Malaysia dari Utsonomiya University di pusingan akhir dengan jaringan dua gol tanpa balas. Pasukan pelajar dari Tsukuba University pula telah muncul sebagai johan “Cup” setelah menumpaskan pasukan pelajar dari Yokohama University di pusingan akhir dengan jaringan tiga gol berbalas satu.
Pasukan boling Kedutaan Besar Malaysia yang diwakili oleh Encik Lee Chee Peng, Encik Abdul Razak Mohd Yassin, Puan Roslina Mat Dom dan Encik Dzulkafli Mohd Sharif juga telah berjaya mengungguli pertandingan dengan jatuhan pin terbanyak dan seterusnya dinobatkan sebagai johan acara berpasukan.
Majlis penutup dan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang telah disempurnakan oleh Encik Wan Aznainizam Yusri, Timbalan Ketua Perwakilan/Menteri Penasihat yang mewakili TYT Datuk Shaharuddin Md. Som, Duta Besar Malaysia ke Jepun. Encik Wan Aznainizam Yusri dan beberapa pegawai-pegawai kanan Kedutaan Besar Malaysia yang hadir di upacara penutup juga telah mengambil peluang tersebut untuk beramah mesra serta bertukar-tukar pendapat dengan pelajar-pelajar yang hadir berhubung isu-isu semasa di Malaysia serta perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pelajar-pelajar berkenaan.
Malawakil Tokyo
14 November 2011