Kedutaan Besar Malaysia, dengan kerjasama Persatuan Jepun-Malaysia (JMA), telah menganjurkan Pertandingan Pidato, Sajak dan Lagu Bahasa Melayu 2026 pada 26 Mac 2026. Pertandingan ini menghimpunkan 11 pelajar Jepun dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), Takushoku University dan Waseda University yang sedang belajar Bahasa Melayu. Ia merupakan platform yang menarik bagi para pelajar untuk menonjolkan bakat, kreativiti dan minat terhadap budaya Malaysia melalui pidato, sajak dan lagu.
Kedutaan Besar Malaysia amat teruja dan kagum dengan semangat serta keyakinan para peserta dalam menggunakan Bahasa Melayu, yang jelas menunjukkan minat yang semakin berkembang terhadap Bahasa Melayu di Jepun. Program seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah turut mengeratkan lagi hubungan budaya dan pendidikan antara Malaysia dan Jepun. Kedutaan Besar Malaysia berharap agar lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang!
