Mission News

Tradisi Perkahwinan Melayu diketengahkan di Jepun

11 October 2024 1 views

Persatuan Wanita Kedutaan Besar Malaysia di Jepun (PERWAKILAN Tokyo) telah menganjurkan program “Malaysia – Know My Country” pada 11 Oktober 2024. Program ini bertujuan untuk mempromosi dan mengetengahkan adat dan budaya tradisi perkahwinan Melayu kepada sekitar 80 peserta di kalangan warga diplomatik asing di Jepun serta ahli-ahli Asia-Pacific Ladies Friendship Society (ALFS), iaitu sebuah organisasi kebajikan yang disertai oleh 26 negara Asia Pasifik di Jepun.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datin Suriyah Abdullah, Pengerusi PERWAKILAN Tokyo yang juga merupakan isteri kepada TYT Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, Duta Besar Malaysia ke Jepun. Datin Suriyah berkata bahawa program tersebut membawa peserta untuk menyelami sendiri pengalaman menghadiri majlis perkahwinan Melayu. “Setiap yang anda dapat lihat, termasuk persiapan dewan, makanan dan upacara yang dijalankan pada hari ini, adalah merupakan pengalaman yang anda akan alami semasa menghadiri majlis perkahwinan Melayu sebenar di Malaysia”.

Semasa program tersebut, sesi penerangan telah diadakan mengenai adat tradisi perkahwinan Melayu seperti merisik, bertunang, akad nikah dan bersanding. Majlis seterusnya diserikan dengan simulasi majlis bersanding perkahwinan Melayu dengan persembahan kompang, silat pengantin, tarian Inang dan merenjis. Selain merasai sendiri pengalaman merenjis semasa adat bersanding, para tetamu juga dihidangkan dengan masakan Melayu seperti Nasi Minyak, Ayam Masak Merah, Kurma Daging, Udang Goreng Kunyit, Acar Jelatah dan hidangan kuih-muih Melayu. Majlis turut diakhiri dengan Joget Lambak bersama para tetamu.

Selain isteri-isteri duta besar asing di Jepun serta para diplomat asing, program tersebut turut dihadiri oleh Pn. Mariko Nakasone, Naib President ALFS, Pn. Ayako Nagamine, Presiden Welcome to Tokyo (WTT), dan Pn. Kasumi Joychi, Presiden International Ladies Benevolent Society. Rata-rata tetamu sangat teruja dan kagum dengan keunikan perkahwinan Melayu dan menghargai kepelbagaian warisan tradisional yang terdapat di Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Share:
Link copied to clipboard
Back