UCAPAN PENASIHAT PERWAKILAN TOKYO
BAGI PROGRAM PERASMIAN KELAS BIMBINGAN MALAYSIA (KBM) PERWAKILAN TOKYO
Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Majlis,
YBhg. Datin Josephine Dagang, Pengerusi PERWAKILAN Tokyo
Yang Dihormati,
Ahli-ahli jawatankuasa, ahli PERWAKILAN dan semua Home Based Staff (HBS) dan keluarga.
Selamat sejahtera saya ucapkan.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas undangan pihak PERWAKILAN dan seterusnya memberikan peluang kepada saya untuk mengucapkan sepatah dua kata selaku penasihat PERWAKILAN dan sekaligus merasmikan Majlis Perasmian Kelas Bimbingan Malaysia (KBM) PERWAKILAN Tokyo.
Tuan – tuan dan puan - puan sekalian,
2. Penubuhan KBM adalah bertepatan dengan suasana dan hala tuju wawasan seperti yang diharapkan oleh Falsafah Pendidikan Malaysia. Secara tidak langsung ia memberi peluang untuk menyuburkan dan menggilap potensi tersembunyi dikalangan anak-anak HBS dalam aspek pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
3. Seperti kita sedia maklum, semua anak-anak HBS bersekolah di sekolah-sekolah antarabangsa di Perwakilan mengikut pilihan masing-masing dan Bahasa inggeris adalah Bahasa perantaraan utama. Ini kadang kalanya menyebabkan kurangnya penguasaan Bahasa Malaysia dikalangan anak-anak HBS.
4. Selain itu ketiadaan pengetahuan formal berhubung negara Malaysia menyebabkan kurangnya penerapan nilai-nilai murni, jati diri dan patriotisme dikalangan anak-anak HBS. Patriotisme perlu ditanam semasa zaman kanak-kanak lagi supaya mereka akan membesar dengan menghargai warisan, kepelbagaian dan sejarah mereka, dan berusaha untuk memperbaiki Malaysia dalam semua aspek.
5. Rasa kepunyaan atau sense of belonging juga adalah unsur penting yang perlu dipupuk dan dipelihara dalam kalangan anak – anak HBS yang berada di luar negara. Hanya melalui perasaan kepunyaan ini, generasi muda Malaysia boleh dibentuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan matang serta dapat memimpin masa depan negara.
6. Sehubungan itu, penubuhan KBM diharap akan menjadi landasan atau platform utama bagi anak-anak HBS untuk belajar berorientasikan Sistem Pendidikan Malaysia yang sebenar. Saya yakin bahawa PERWAKILAN Tokyo akan dapat memupuk semangat dan kesedaran yang mendalam di kalangan kanak-kanak kita terhadap tanah air walau di mana jua kita berada. Saya percaya bahawa semua ahli PERWAKILAN Tokyo akan memberikan komitmen yang baik dalam setiap aktiviti yang bakal dianjurkan.
7. Di kesempatan ini juga, saya ingin berterima kasih kepada barisan ahli jawatankuasa yang sentiasa komited menjalankan tugas masing-masing dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat buat semua ahli.
8. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya dan semua warga kedutaan akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan segala aktiviti yang dirancangkan oleh KBM PERWAKILAN Tokyo berjalan lancar. Dengan kata – kata itu, saya merasmikan Kelas Bimbingan Malaysia (KBM) Perwakilan Tokyo.
Sekian, terima kasih.