Events
Majlis Iftar dan Sembahyang Solat Sunat Tarawikh
Satu Majlis Iftar dan Sembahyang Solat Sunat Tarawikh telah diadakan di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia, Rabat, Maghribi pada hari Ahad, 22 Julai 2012. Seramai lebih kurang 80 orang telah hadir untuk menjayakan program ini.
Majlis dimulakan dengan tazkirah dari Ustaz Ahmad Irdha Mokhtar. Para hadirin kemudian telah berbuka puasa dengan tamar, kacang dan kuih-muih. Sembahyang solat Maghrib telah diadakan secara berjemaah sebelum tetamu dijamu dengan antara lain hidangan nasi, ayam masak kicap, sayur masak lemak dan ikan masak sambal.
Apabila masuk waktu Isyak, solat berjemaah telah diadakan dituruti dengan solat sunat tarawikh dan witir. Majlis pada malam itu diakhiri dengan jamuan moreh.
Jamuan Teh Sempena Hari Keputeraan DYMM SPB YDP Agong
Jamuan Teh Sempena Hari Keputeraan DYMM SPB YDP Agong ini telah diadakan di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia, Rabat, Maghribi pada hari Sabtu, 2 Jun 2012. Semua rakyat Malaysia di Maghribi telah dijemput untuk menghadiri Hari Keluarga ini, seramai 60 orang telah hadir untuk menjayakan program ini.
Duta Besar Malaysia ke Maghribi, TYT Jamal Hassan telah memberikan ucapan dan diikuti oleh jamuan teh. Tayangan video pertabalan DYMM SPB YDP Agong telah juga diadakan semasa jamuan teh tersebut.
Hari Keluarga Rakyat Malaysia di Maghribi
Hari Keluarga Rakyat Malaysia pada tahun ini telah diadakan di Kedutaan Besar Malaysia, Rabat, Maghribi pada 1 Mei 2012 seawal jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Semua rakyat Malaysia di Maghribi telah dijemput untuk menghadiri Hari Keluarga ini, seramai 56 orang telah hadir untuk menjayakan program ini.
Program Hari Keluarga ini diadakan untuk memberikan ruang kepada rakyat Malaysia di Maghribi untuk melakukan aktiviti bersama keluarga dan lebih mengenali penjawat awam di Kedutaan Besar Malaysia di Maghribi, untuk saling kenal-mengenali dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan rakyat Malaysia di Maghribi dan menyemarakkan semangat kerjasama, hormat-menghormati dan menanam nilai-nilai murni melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan untuk mewujudkan persefahaman dan semangat kerja berpasukan.
ATURCARA HARI KELUARGA
Program Hari Keluarga Rakyat Malaysia di Maghribi ini dirasmikan oleh TYT Duta Besar, Ambassador Jamal Hassan dan dihadiri oleh sebilangan besar rakyat Malaysia terdiri daripada pegawai/kakitangan Kedutaan dan pelajar Malaysia di Maghribi telah diraikan secara sederhana tetapi amat meriah dengan pelbagai aturcara seperti berikut:-
· Senamrobik
· Sukan
· Sukaneka
· Cabutan Bertuah, Kira Berat Hamper dan Kira Bilangan Gula-Gula
· Pertandingan Individu
Semua peserta telah dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing untuk penyertaan pelbagai aturcara yang disusun dengan keutamaan acara sukan seperti bola tampar dan ping pong di samping acara sukaneka menjadi acara paling meriah dengan penglibatan semua warga Malaysia untuk merebut pelbagai hadiah yang telah disediakan oleh pihak penaja di Maghribi. Walaupun penat lelah dengan penyertaan acara sukan, pelbagai hadiah juga disediakan untuk Cabutan Bertuah, Kira Berat Hamper, Kira Bilangan Gula-Gula dan juga penganugerahan kepada individu yang menunjukkan kesungguhan dan kepopularan semasa program ini sedang diadakan.
Rakyat Malaysia juga telah disajikan dengan juadah hidangan sarapan pagi dan minum petang ala Malaysia seperti mee goreng, kari ayam, kuih muih tradisional seperti karipap, donut, pudding dan juga minuman panas seperti kopi/teh.