MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI RABAT
Pada 21 Februari 2026, Kedutaan Besar Malaysia di Rabat telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa yang berlangsung di Canseri. Majlis yang dihoskan oleh Dato’ Shahabudeen Adam Shah telah dihadiri oleh rakyat Malaysia yang menetap di Maghribi. Turut hadir ialah anggota kor diplomatik serta kenamaan tempatan. Majlis dimulakan dengan Tadarus Al-Quran dan berbuka puasa. Selepas Solat Maghrib, para tetamu telah menikmati jamuan makan malam, diikuti dengan Solat Isyak dan Solat Tarawih sebelum majlis diakhiri dengan jamuan Moreh. Para tetamu diraikan dengan pelbagai juadah istimewa yang disediakan oleh PERWAKILAN Rabat. Penganjuran majlis ini telah memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Maghribi untuk bersama-sama menghayati dan menyambut keberkatan bulan Ramadan, di samping mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan komuniti Malaysia. Kedutaan Besar Malaysia di Rabat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan telah bersama-sama menjayakan majlis tersebut.






